Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembangunan Aset Wakaf Mampu Lonjak Ekonomi Umah

07/03/2026 10:31 PM

MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Pembangunan aset wakaf secara komersial mampu menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan ekonomi umat Islam di negara ini selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dan B40.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata konsep wakaf perlu dilihat secara lebih luas selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.

Beliau berkata selain fungsi tradisional seperti pembinaan masjid dan tanah perkuburan, wakaf juga berperanan sebagai instrumen pembangunan ekonomi umat melalui pembinaan aset komersial.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Ini satu daripada amal jariah yang patut dicontohi kerana ia bukan dalam bentuk sehala tetapi membentuk pengurusan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekitar dari pelbagai sudut termasuk peluang pekerjaan," katanya selepas merasmikan Majlis Iftar Rantaian Kasih bersama Anak Yatim dan Miskin di Tajung Kling di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Dr Ridzwan Bakar serta 80 anak yatim daripada tiga pertubuhan kebajikan iaitu Anjung Putra Melaka, Rumah Kasih Tun Abdul Aziz dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM) yang diraikan.

Sementara itu, Ridzwan berkata peranan wakaf ialah membina aset harta umat kerana dengan adanya aset berkenaan, umat Islam boleh mengumpulkan dana besar yang akhirnya digunakan untuk memajukan ekonomi. 

Beliau berkata pembangunan hotel wakaf misalnya bukan sahaja menjana pendapatan tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Sebahagian besar peluang pekerjaan yang diwujudkan turut memberi manfaat kepada golongan asnaf dan B40.

"Kewujudan aset wakaf komersial ini turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil yang menjadi pembekal barangan dan perkhidmatan kepada premis berkenaan," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan