KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan sebarang penerbitan rancangan realiti televisyen berunsur keagamaan, meskipun terdapat kebimbangan penglibatan segelintir bekas pesertanya dalam aktiviti yang menjejaskan imej Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata sebaliknya kerajaan mengambil langkah memperketat pematuhan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua 2014) yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai rujukan utama industri penyiaran bagi memastikan objektif asal program dakwah realiti televisyen itu tidak terjejas oleh salah laku individu.
"Sebarang pelanggaran undang-undang oleh bekas peserta adalah tanggungjawab peribadi dan tertakluk kepada proses perundangan sedia ada, namun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus memantau kandungan program agar selari dengan akidah, syariah dan akhlak.
"Kerajaan akan memperketat pematuhan garis panduan, mengukuhkan mekanisme pemantauan kandungan, serta melibatkan panel syariah dan penasihat berautoriti dalam setiap penerbitan bagi memastikan pelaksanaan program lebih berdisiplin, berhemah, bertanggungjawab serta kekal relevan dengan perkembangan landskap media digital masa kini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Jufitri Joha yang ingin tahu langkah diambil kerajaan, sama ada untuk menghentikan sementara rancangan realiti agama atau mengetatkan garis panduan program realiti agama berikutan penglibatan segelintir bekas peserta dalam aktiviti yang merosakkan imej Islam.
Marhamah berkata Perkara 10(1)(a) Garis Panduan berkenaan secara jelas menetapkan bahawa individu yang terlibat dalam program sedemikian hendaklah mengekalkan peribadi mulia walaupun berada di luar waktu persembahan.
Menyentuh mengenai kajian pakar Islam Asia Tenggara, Prof Ken Miichi yang menyifatkan program realiti agama sebagai sebahagian daripada "budaya pop Islam" yang mungkin tidak seimbang antara nilai dan populariti pada soalan tambahan Jufitri, Marhamah berkata kerajaan melihat program tersebut sebagai medium pendidikan tidak formal yang penting bagi golongan belia.
"Kita mahu menyediakan alternatif kepada penonton agar mereka mempunyai pilihan program yang bermanfaat. Matlamat kita adalah untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berbakat dan popular, tetapi juga berprinsip, berakhlak dan mempunyai akidah yang kukuh," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa stesen TV AlHijrah sebagai agensi di bawah hal ehwal agama sentiasa melaksanakan tapisan kandungan yang ketat serta melantik pegawai kader JAKIM sebagai penasihat syariah bagi setiap program terbitan mereka seperti Akademi Qurra' dan Pentas Marhaban.
Sementara itu, menjawab pertanyaan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang bertanyakan penyelarasan dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri pula, Marhamah menjelaskan Jakim sentiasa mengadakan libat urus bagi memastikan penyampaian ilmu agama di semua platform adalah sahih, muktabar dan berautoriti namun tertakluk mengikut bidang kuasa agama negeri masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial