Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (dengan kepujian) itu berkata pemberian biasiswa berkenaan menjadi batu loncatan untuk merealisasikan cita-cita bergelar pensyarah.
"Selepas tamat pengajian pada peringkat sarjana muda pada Julai 2025, saya bekerja sebagai guru ganti di Maahad Saniah, di Pasir Puteh, Kelantan, untuk mengumpul wang serta membantu kedua ibu bapa menanggung lapan adik-beradik yang masih belajar di universiti dan sekolah.
"Tetapi alhamdulillah permohonan untuk mendapatkan Biasiswa Alumni berjaya dan saya dapat menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati. Insya-Allah peluang ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menggapai cita-cita membela nasib keluarga," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Tajaan Biasiswa Alumni UniSZA 2026, di Bangunan Canselori UniSZA, di sini hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Seorang lagi penerima Muhammad Hafizul Haiqal Ab. Karim, 26, dari Alor Limbat, Marang, berkata dia berhasrat menyambung pengajian pada peringkat sarjana selepas berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian di universiti sama.
Bagaimanapun, kekangan kewangan memaksa dia menangguhkan dahulu impian dan melakukan pelbagai kerja untuk mengumpul wang bagi menyambung pengajian.
"Sebelum ini saya ada juga mohon biasiswa lain, tetapi gagal. Alhamdulillah daripada 30 pelajar yang tercalon, saya tersenarai dalam 10 orang yang terpilih menerima Biasiswa Alumni," katanya.
Sementara itu, Fadzli berkata UniSZA menyalurkan sebanyak RM200,000 bagi menaja kumpulan pertama penerima Biasiswa Alumni 2026/2027.
Beliau berkata pembiayaan itu hasil sumbangan alumni, Dana Wakalah Zakat UniSZA dan tajaan korporat melalui jaringan strategik universiti bersama rakan industri.
"Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol solidariti dan kebersamaan warga alumni dalam memperkasakan pendidikan serta memperkukuh ekosistem ilmu di Malaysia.
"Selain itu, ia membuktikan komitmen berterusan alumni dalam memastikan pelajar B40 diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial