Ad Banner
 AM > BERITA

Kebolehpasaran Lepasan Huffaz Teknokrat 100 Peratus - TPM Ahmad Zahid

02/03/2026 01:28 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Lepasan program Huffaz Teknokrat mencatat kebolehpasaran 100 peratus hasil kolaborasi dengan syarikat multinasional, yang kini memerlukan puluhan ribu jurutera setiap tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata permintaan industri amat tinggi apabila sebanyak 60,000 jurutera diperlukan tahun ini, namun negara hanya mampu menawarkan kira-kira 6,000 sahaja.

"Oleh itu, kerajaan komited mewujudkan 125,000 huffaz profesional dan teknokrat sebelum 2050. Program itu kini dilaksanakan melalui institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta universiti termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Ad Banner
Ad Banner

"Mereka ini bukan sahaja menghafal 30 juzuk al-Quran, malah disalurkan mengikuti kursus profesional dalam pelbagai bidang, terutama kejuruteraan kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan kenderaan elektrik (EV)," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA 2026 dan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta hampir 10,000 huffaz terdiri daripada pelajar dan alumni institusi pendidikan di bawah MARA.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata saluran khusus bagi pelajar Huffaz Teknokrat diwujudkan di Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) serta Fakulti Kejuruteraan Marin UniKL di Lumut yang mencatat prestasi tinggi.

"Mereka ini cukup fokus dan mudah memahami subjek dalam bidang aeroangkasa serta mencatat prestasi tinggi, dan saya yakin sekiranya ia terus dipantau serta diberikan galakan, kejayaan ini dapat dicapai sebelum matlamat akhir pada 2050," katanya. 

Ditanya sama ada model Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz akan diperluas ke peringkat nasional, beliau berkata inisiatif itu telah dimulakan di tujuh universiti di bawah rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN) dan dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, menurut kenyataan MARA, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi melaksanakan Industrial Boot Camp (IBC) MARA.

Program itu menyasarkan 720 pelajar mengikuti latihan kemahiran profesional dan teknikal, dengan pensijilan diiktiraf industri serta jaminan kebolehpasaran, sekali gus membantu menyelaraskan kemahiran lepasan tahfiz dengan keperluan industri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan