DUNIA > BERITA

Majlis Kepimpinan Interim Iran Dibentuk, Mulakan Operasi - Presiden

02/03/2026 12:27 AM

TEHRAN, 1 Mac (Bernama-Xinhua) -- Majlis kepimpinan interim tiga anggota Iran telah dibentuk dan mula menjalankan operasinya, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Ahad.

Beliau mengumumkan perkara itu menerusi mesej video yang disiarkan oleh stesen televisyen kendalian kerajaan, IRIB TV, beberapa jam selepas Iran mengesahkan kematian Pemimpin Agung Ali Khamenei dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pezeshkian berkata majlis itu akan meneruskan perjuangan Khamenei dengan cekal, sambil menegaskan bahawa angkatan tentera Iran bersedia untuk "menghancurkan" pangkalan-pangkalan "musuh".

Terdahulu, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Ali Larijani berkata menurut Perkara 111 Perlembagaan Iran, sekiranya berlaku kekosongan kepimpinan negara, Presiden, Ketua Kehakiman dan seorang pakar undang-undang daripada Majlis Penjaga Perlembagaan akan memikul tanggungjawab pemimpin secara sementara.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA kemudian melaporkan bahawa Majlis Penentuan Kepentingan Iran telah memilih Alireza Arafi, seorang pakar undang-undang daripada Majlis Penjaga Perlembagaan negara itu, sebagai anggota majlis kepimpinan interim berkenaan.

Majlis kepimpinan interim itu turut dianggotai oleh Pezeshkian dan Ketua Kehakiman Gholamhossein Mohseni-Ejei.

AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu, mengorbankan Khamenei, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, serta beberapa pegawai kanan yang lain.

Serangan bersama itu mencetuskan serangan balas oleh Iran terhadap sasaran Israel dan AS di seluruh Timur Tengah.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan