AM > BERITA

Hakisan Di Pantai Batu Feringghi, Tanjung Bungah Akibat Fenomena Air Pasang - Exco

30/01/2026 11:43 AM

GEORGE TOWN, 30 Jan (Bernama) -- Kejadian hakisan luar biasa di pesisir pantai Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah baru-baru ini, berpunca daripada fenomena air pasang besar yang menyebabkan ketinggian ombak meningkat kira-kira dua kaki (0.6 meter) berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata dapatan tersebut berdasarkan laporan rasmi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kerja tambakan di sekitar Pulau Pinang, khususnya Pulau Andaman sebagai punca utama hakisan pantai semakin memburuk.

“Fenomena air pasang yang disertai angin kencang menyebabkan kelajuan ombak tahun ini sangat kuat shingga beg pasir yang ditanam sebagai langkah mitigasi hakisan pantai turut terbalik dan berubah kedudukan.

Ad Banner
Ad Banner

“Faktor ini yang dikenal pasti sebagai punca utama kejadian hakisan berkenaan, justeru tuduhan oleh pihak tertentu termasuk NGO yang mendakwa kerja tambakan di sekitar Pulau Pinang, khususnya Pulau Andaman sebagai punca utama hakisan pantai memburuk adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan Pulau Andaman telah memulakan kerja tambakan dengan pembinaan struktur perlindungan utama atau perimeter benteng batu lebih 10 tahun lepas.

Zairil berkata kerja-kerja tersebut ketika ini hanya melibatkan pengisian baki kawasan di dalam struktur yang telah lama wujud, manakala pasir digunakan pula tidak dikorek dari kawasan laut berhampiran pesisir Batu Ferringhi atau Tanjong Bungah.

Sebaliknya, beliau berkata pasir berkenaan diambil dari Pulau Indah dan Lumut mengikut kaedah piawaian serta Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Sekiranya kerja-kerja tambakan tersebut menjadi punca hakisan, kesannya sudah tentu telah berlaku sejak 10 tahun lepas,” katanya.

Zairil berkata Pulau Pinang bukan asing dengan aktiviti penambakan yang sejak sekian lama telah mengubah landskap negeri itu mengikut keperluan pembangunan semasa, dengan mengambil contoh Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Persiaran Gurney, Weld Quay serta beberapa kawasan lain yang merupakan kawasan tambakan.

Beliau berkata walaupun banyak projek penambakan dilaksanakan, kawasan sekeliling tidak terjejas kerana aspek keselamatan dan pengukuran teknikal diberi perhatian sewajarnya.

Beliau turut memaklumkan insiden hakisan pantai di Batu Ferringhi kini sedang ditangani melalui langkah mitigasi oleh JPS menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan ke-5 (RMK12 RP5) berjumlah RM61 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan