KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Sebanyak 46 projek hakisan pantai dan muara sungai telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 19 projek berada di peringkat pelaksanaan, prapelaksanaan (24) dan pascapelaksanaan (3).
“Khusus bagi Terengganu, sehingga kini terdapat 10 projek berkaitan hakisan pantai dan muara sungai dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.57 bilion, dengan lima projek sedang dalam pelaksanaan, empat projek di peringkat prapelaksanaan dan satu projek di peringkat pascapelaksanaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Che Alias Hamid mengenai kekangan kerajaan dalam mewujudkan dana kontingensi mitigasi hakisan pantai yang semakin kritikal memandangkan peruntukan kerja-kerja kecemasan luar jangka sedia ada melambatkan tindakan di kawasan berisiko tinggi seperti Terengganu.
Abdul Rahman berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa komited dalam menangani isu hakisan pantai secara menyeluruh dan berasaskan penilaian teknikal.
Beliau berkata JPS tidak mempunyai dana kecemasan khusus bagi hakisan pantai dan sebarang tindakan jangka pendek di kawasan terjejas dilaksanakan berdasarkan kajian teknikal dan penilaian keutamaan risiko.
“Dalam hal ini, kerjasama dan sokongan kerajaan negeri amat penting bagi membantu pelaksanaan langkah mitigasi tambahan serta menyokong komuniti setempat, termasuk mengambil tindakan segera sekiranya keadaan memerlukan.
“Bagi kawasan berisiko tinggi, PETRA melalui JPS melaksanakan pendekatan jangka panjang merangkumi kaedah struktur dan bukan struktur,” katanya.
Beliau berkata dari segi kaedah bukan struktur, JPS melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) yang berfungsi sebagai dokumen perancangan strategik bagi zon persisiran pantai untuk rujukan pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan melalui pendekatan pencegahan yang mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kawasan pesisir.
Katanya sehingga kini, sebanyak 11 ISMP telah disiapkan manakala enam lagi sedang dalam pelaksanaan di seluruh negara sementara ISMP Negeri Terengganu telah disiapkan pada 2022.
“Usaha menangani hakisan pantai memerlukan penyelarasan bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan langkah mitigasi dan pengurusan risiko dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Che Alias mengenai status terkini kemajuan projek fizikal pengawalan hakisan pantai Kuala Nerus, Abdul Rahman berkata projek pembangunan bernilai RM90 juta yang bermula 24 Julai 2023 itu dijangka siap pada 14 Jan 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial