GEORGE TOWN, 17 Mac (Bernama) -- Sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama, Tanjong Tokong di sini, telah ditukar nama menjadi Jalan Shaik Ibrahim bagi mengenang jasa bekas Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Allahyarham Shaik Ibrahim terhadap komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri menerima permohonan daripada penduduk tempatan untuk menamakan semula jalan itu bagi menghargai sumbangan Allahyarham kepada masyarakat di Pulau Pinang, khususnya di Tanjong Tokong.
Beliau berkata jalan yang dicadangkan ialah jalan sedia ada sepanjang 124 meter di antara Jalan Tanjong Tokong Lama dengan Jalan Tanjong Tokong.
“Permohonan pertukaran nama jalan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Nama Geografi Negeri (JNNG) pada 4 Dis 2025 dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang meluluskannya pada 25 Feb lepas," katanya selepas merasmikan nama jalan baharu itu di sini, hari ini.
Beliau berkata Allahyarham merupakan Presiden Pemenang yang keempat dan berkhidmat selama lima tahun bermula dari 1930 hingga 1934.
Berdasarkan sumber maklumat daripada penduduk setempat, Zairil berkata Jalan Shaik Ibrahim sebelum ini pernah digunakan sebagai kawasan Tapak Pasar Pagi, Pasar Malam dan Madrasah at-Taqwa pada 1925, sekali gus membuktikan bahawa sebutan Jalan Shaik Ibrahim ini telah wujud sejak dahulu Iagi.
Merujuk sumber daripada Pemenang dan Pustaka Ilmu Arkib Negara Malaysia, Allahyarham Shaik Ibrahim yang dilahirkan di Tanjong Tokong merupakan seorang dermawan serta banyak menyumbang bakti kepada penduduk Tanjong Tokong.
Allahyarham juga merupakan editor pengarang akhbar tempatan dan pernah mendapat pengiktiran Justice of Peace daripada kerajaan British dan kerajaan Jepun pada era 1940-an.
Sumbangan keluarga Almarhum Shaik Ibrahim diteruskan oleh anaknya Datuk Mohamed Sopiee Shaik Ibrahim yang pernah menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari 1972 hingga 1974, manakala cucunya Tan Sri Dr Mohammad Noordin Mohamed Sopiee juga seorang tokoh kewartawanan dan pemikir strategik negara.
Zairil menyifatkan sumbangan Allahyarham Shaik Ibrahim serta kesinambungan jasa yang diteruskan oleh anak dan cucunya telah memberikan impak yang signifikan kepada pembangunan negara dan wajar dikenang oleh generasi masa kini dan akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial