Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JKM Salur Bantuan Bulanan Kepada Firas Affan

23/12/2025 07:27 PM

IPOH, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 bermula Januari depan kepada Firas Affan Mohd Fauzi yang menghidap ketumbuhan pada bahagian belakang mata iaitu Germ Cell Tumor

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata Firas Affan yang berusia setahun dua bulan menerima bantuan bagi kategori pesakit kronik terlantar.

“Selain itu, kita telah meluluskan Kad Perak Sejahtera sejak Oktober lepas. Kita berharap bantuan sebegini sebagai tambahan dan sokongan kerajaan negeri untuk mengurangkan sedikit beban keluarganya,” katanya. 

Salbiah berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Firas Affan yang dikesan menghidap penyakit itu pada Oktober lepas, di kediaman keluarganya di Bandar Lahat Baru di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Fauzi Saad, 43, berterima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan kepada anaknya.

“Saya sangat terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dan juga orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan selepas penyakit anak saya disiarkan media,” katanya.

Pada Jumaat lepas, ibu Firas Affan Anis Azwanie Azmi, 29, berkata penyakit itu dikesan selepas anak bongsu daripada empat beradik itu sering lesu dan mengalami bengkak pada muka, menyebabkannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Anis Azwanie berkata sehingga kini, anaknya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali dan akan menjalani beberapa lagi susulan rawatan itu selepas ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan