SPRM Bongkar Pelbagai Kes Berprofil Tinggi, Pemulihan Aset Lebih RM8.4 Bilion

23/12/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan pelbagai siasatan berprofil tinggi tahun ini termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, pegawai penguat kuasa dan institusi perbankan dengan nilai pemulihan aset, sitaan serta pelucuthakan mencecah lebih RM8.4 bilion setakat 30 Nov.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan antara kes utama ialah siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membabitkan rampasan pelbagai mata wang bernilai lebih RM169 juta dan 16 kilogram jongkong emas dari sebuah rumah selamat.

“Pada 1 Okt, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan wang yang disita itu dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia selepas tiada pihak menuntut wang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, SPRM turut melaksanakan OPS Rentas pada 10 Sept bagi membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai penguat kuasa dipercayai terlibat kegiatan counter setting di pintu masuk antarabangsa negara.

Operasi di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor itu menahan 27 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa manakala 57 akaun bank bernilai kira-kira RM2.7 juta dibekukan.

Menerusi OPS Tiger, SPRM mendakwa 49 individu termasuk pegawai dan bekas pegawai beberapa institusi perbankan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dari 7 hingga 26 Nov atas kesalahan menerima rasuah bagi memudahkan kelulusan pinjaman perumahan.

SPRM turut membongkar sindiket penyeludupan besi buruk menerusi OPS Metal pada 14 Julai yang  melibatkan lima negeri dan menyebabkan kerugian hasil cukai eksport dianggarkan melebihi RM950 juta, dengan nilai sitaan pelbagai aset lebih RM182 juta.

Operasi di 18 lokasi itu dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia. 

Sementara itu, OPS Karen pada 2 Sept menyita lima kapal dan 4.21 juta liter diesel haram di sekitar Beluran dan perairan ESSCOM, Sabah dengan nilai keseluruhan aset RM32.07 juta selain membekukan akaun bank bernilai RM25 juta.

Pada 29 Sept, pelaksanaan OPS Grip yang menyasarkan sindiket penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport melibatkan rampasan 17,672 biji tayar, sitaan enam gudang dan pembekuan akaun bernilai kira-kira RM70 juta.

SPRM juga melaksanakan OPS Kembali susulan pendedahan video tular membabitkan wanita dan ahli perniagaan Albert Tei yang juga melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Tiga individu itu ditahan pada 27 dan 28 Nov dengan Tei dan Shamsul Iskandar didakwa di mahkamah pada 4 Dis.

Pelaksanaan OPS Sky meyaksikan SPRM mendakwa 16 individu termasuk pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan serta merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank bernilai RM17.4 juta.

Berdasarkan statistik SPRM, sitaan berjumlah RM566.77 juta di bawah Akta SPRM 2009 dan RM6.26 bilion mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA/ATFPUAA) 2001 selain pembekuan aset bernilai RM36.14 juta direkodkan sehingga 30 Nov.

Sepanjang tempoh sama, SPRM menerima 6,114 maklumat, membuka 966 kertas siasatan, menahan 1,128 individu, memfailkan 445 pertuduhan dan merekodkan 189 sabitan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan