Dakwaan Lelaki Dipukul Polis Sedang Disiasat

23/12/2025 09:56 PM

SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) -- Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting dekat sini bulan lepas. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 18 Nov. 

Beliau berkata wanita berusia 39 tahun itu mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan anaknya ditampar oleh individu memperkenalkan diri sebagai polis. 

“Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti. Bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd Sufian berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mereka mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-3187 2222 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan