KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Program IKHLAS Padawan iaitu sebuah program kerjasama di antara Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), mampu melahirkan graduan berdaya saing sekali gus mendedahkan peluang kerjaya sebagai perunding takaful selepas menamatkan pengajian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata program itu, dirangka khusus untuk melengkapkan pelajar UUM dengan kemahiran keusahawanan bagi mendepani pasaran kerja yang semakin mencabar.
Beliau berkata program berstruktur selama 18 minggu itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada ilmu teknikal menerusi Penilaian Asas Takaful (Takaful Basic Exam), malah turut memperkasakan pelajar dengan kemahiran insaniah dan komunikasi dalam bidang perniagaan.
“Untuk IKHLAS Padawan, kita memperkasakan mereka dengan ilmu untuk menjadi usahawan. Selepas mereka habis program ini, memang ada peluang kerjaya dengan Takaful IKHLAS untuk menjadi perunding dan sebenarnya mereka dah pun boleh mula dari sekarang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Program IKHLAS Padawan Sesi 2025 di sini, yang menyaksikan penyertaan 26 pelajar universiti itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 24 orang telah melepasi Penilaian Asas Takaful manakala daripada 24 pelajar itu, 14 orang daripadanya telah mendaftarkan diri sebagai perunding Takaful IKHLAS.
Wan Ahmad Najib berkata program tersebut juga dapat merapatkan jurang antara pihak akademik dan industri, kerana melalui program itu pelajar diberikan peluang berinteraksi dengan mentor berpengalaman, menerima bimbingan kerjaya dan memahami dinamik kerjaya sebagai perunding takaful.
Justeru, beliau berharap lebih ramai pelajar universiti berpandangan terbuka terhadap industri takaful memandangkan industri juga merupakan ruang terbaik untuk graduan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
“Ada banyak peluang kerja di luar sana sebenarnya kalau kita tidak terkongkong dengan set minda yang spesifik. Bagi saya, industri takaful ini sebuah industri yang mulia dan bagi orang Islam, ia satu bentuk jihad kewangan yang kita menasihatkan orang untuk mendapat perlindungan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta Nur Syuhada Alias, 23, yang juga pelajar kaunseling semester akhir berkata beliau memilih menyertai program IKHLAS Padawan selepas disarankan oleh pensyarahnya untuk mencuba perkara baharu, selain daripada bidang pengajian utamanya.
“Walaupun saya dah ada laluan kerjaya, tapi saya juga boleh pilih untuk buat separuh masa dengan adanya pengiktirafan daripada IKHLAS Padawan ini,” katanya sambil berkata program tersebut juga memberikan nilai tambah kepada para graduan.
Bagi pelajar kewangan Islam dan perbankan Muhammad Farhan Ariff Jamzuri, 22, beliau berkata pensyarahnya juga menyarankan kepadanya supaya mendapatkan direct coaching daripada pihak industri untuk membantunya dengan silibus pembelajaran di universiti.
Beliau berkata program yang menggabungkan pembelajaran melalui teori serta praktikal itu sangat membantu, terutamanya dalam meningkatkan kemahiran mendekati orang ramai bagi menawarkan perkhidmatan takaful.
“Saya harap program IKHLAS Padawan ini dapat diteruskan lagi dan boleh ditambah baik seperti memberikan pendedahan kepada pelajar lain, selain daripada pelajar yang terlibat dengan program ini agar lebih ramai memahami kepentingan takaful,” katanya.
Penyertaan sebagai perunding takaful keluarga di Takaful IKHLAS adalah bersifat sukarela dan merupakan peluang jangka panjang dan bukan satu kewajipan.
Bagi para pelajar yang berminat, permohonan dibuka secara dalam talian melalui laman rasmi Takaful IKHLAS di https://www.takafulikhlas.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial