KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) laluan Sungkai-Slim River yang terjejas akibat kejadian pokok tumbang semalam, telah kembali beroperasi seperti biasa menggunakan satu landasan bermula 6.32 pagi tadi, menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
KTMB dalam kenyataan memaklumkan bagaimanapun, masih terdapat kesan kelewatan terhadap perjalanan perkhidmatan ETS, susulan pelaksanaan operasi menggunakan satu landasan di laluan berkenaan.
Menurut kenyataan itu kerja-kerja baik pulih sistem elektrifikasi di lokasi kejadian sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal KTMB bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan sepenuhnya dengan selamat dan secepat mungkin.
“KTMB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan tersebut.
“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam, layak mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perjalanan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, penumpang yang mengalami kelewatan perjalanan sehingga atau melebihi empat jam dan telah membeli Pelan Takaful Premium, boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist atau melalui e-mel kepada support@goinsure.com.my.
Terdahulu, KTMB menyediakan 12 bas bagi tujuan pemindahan penumpang ke Stesen Slim River bagi perjalanan arah utara atau Stesen Sungkai bagi perjalanan arah selatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi menggunakan perkhidmatan tren.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial