Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PENA Sokong Ketegasan PM Anwar Tidak Iktiraf UEC

13/12/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) walaupun didesak tanpa henti oleh parti politik yang berkepentingan.

Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata Bahasa Melayu tidak boleh dikompromi atau diketepikan dalam apa-apa rundingan apatah lagi tuntutan yang bersifat ugutan politik.

“Pendirian Perdana Menteri itu selari dengan aspirasi PENA yang memperjuangkan pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan semua bidang pentadbiran sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menyeru semua pemimpin parti politik Melayu dan pemegang taruh dalam sistem pendidikan kebangsaan bersatu menyatakan pendirian menolak UEC bagi mengelakkan negara ini tergadai dengan “harga yang murah”.

“Bahasa Melayu merupakan antara teras Perlembagaan, dan harganya bukan ditentukan oleh parti politik yang berkuasa sementara tetapi oleh seluruh rakyat,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata parti politik sememangnya akan berusaha mencari sokongan pengundi tetapi kerajaan tidak boleh tunduk sama sekali kepada tuntutan yang melanggar sistem yang dirangka berdasarkan Perlembagaan.

“Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh dipermain-mainkan oleh pihak swasta dengan andaian bahawa mereka memiliki kepercayaan daripada universiti di seluruh dunia sekalipun,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan yang dipimpin oleh Anwar sebagai teraju kuasa eksekutif mesti berani untuk mempertahankan sistem pendidikan sedia ada yang sudah mengambil kira semua perkara.

“Sebarang tuntutan untuk kepentingan pendidikan mesti mengutamakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan nilai utama dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya sambil menambah penguasaan bahasa lain merupakan nilai tambah dalam usaha membangunkan modal insan di Malaysia namun bukan dengan mengorbankan bahasa kebangsaan.

Pada masa sama, Mohamad Saleeh berkata PENA turut bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan institusi lain bagi merangka program memartabatkan bahasa kebangsaan secara inklusif sekali gus memastikan setiap rakyat Malaysia menguasai Bahasa Melayu.

Semalam, Anwar berkata sebarang tuntutan menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara, dengan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Bahasa Melayu akan terus didukung serta dipertahankan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan