Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JLKN Tingkat Jumlah Pelatih PLKN 3.0 Siri 2 2026,Tambah Sebuah Pusat Latihan Baharu

15/03/2026 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan meningkatkan kuota pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 2 2026 susulan penambahan sebuah lagi pusat latihan.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Ya'cob Samiran dalam kenyataan memaklumkan pelatih boleh membuat semakan menerusi sistem ePLKN 3.0 https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form mulai 1 tengah hari esok.

Beliau berkata penambahan kuota pelatih akan melibatkan penempatan di Kem MALBATT Village, di Port Dickson, Negeri Sembilan dan pelatih terpilih wajib mengesahkan kehadiran menerusi sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 3 April. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pemilihan pelatih bagi kuota tambahan itu dilaksanakan secara rawak melalui sistem ePLKN, dengan hampir 600 pelatih akan ditempatkan di kem berkenaan. 

“Dengan tambahan Kem MALBATT Village, menjadikan jumlah kem yang beroperasi bagi pelaksanaan PLKN 3.0 untuk Siri 2/2026 kepada tiga, iaitu selepas kem Rejimen 51 Askar Wataniah (AW) Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) Pekan, Pahang.

“Pembukaan kem baharu seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada ketersediaan kem yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Ya'cob berkata berdasarkan perancangan, kem MALBATT Village akan menempatkan 350 pelatih lelaki dan 250 pelatih wanita. 

“Walaupun pelatih berlainan jantina ditempatkan di kem yang sama, pelaksanaan latihan tetap mengekalkan pengasingan secara menyeluruh mengikut kompeni, termasuk dari segi kawasan penginapan, aktiviti latihan dan pergerakan harian sepanjang program berlangsung.

"JLKN memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh latihan selama 45 hari dijalankan di kem itu," katanya.

PLKN 3.0 Siri 2 2026 berlangsung dari 25 April hingga 8 Jun ini, dengan empat siri latihan PLKN 3.0 dijadualkan tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan