PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Tempoh percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) kini sedang dijalankan di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kejayaan pelaksanaan sistem itu di Terminal 1 (T1) tahun lepas.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), tempoh percubaan yang dijadual hingga 30 Mac 2026 itu, melibatkan bahagian mengambil dan menurunkan penumpang, serta memperkenalkan kemasukan dan keluar kenderaan secara berjadual melalui palang automatik bagi mengurus aliran trafik dengan lebih baik.
“Selepas tempoh percubaan tamat, caj yang dikenakan akan dilaksanakan ke atas kenderaan yang berhenti di tepi jalan melebihi masa dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata fasa kedua pelaksanaan VAMS di T2 mencerminkan fokus berterusan pengendali lapangan terbang terhadap usaha meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatan di KLIA.
“Dengan memperbaiki aliran trafik di tepi jalan dan memastikan pergerakan kenderaan yang lebih baik, sistem ini menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan selamat kepada penumpang serta mereka yang menghantar atau menjemput penumpang, terutamanya apabila permintaan perjalanan terus meningkat,” katanya.
VAMS di KLIA memberikan tempoh percuma 10 minit untuk kenderaan yang menghantar atau menjemput penumpang.
Menurut MAHB, sepanjang tempoh percubaan di T2, tiada penalti akan dikenakan kerana fokus utama adalah memantau corak trafik dan tingkah laku pemandu sebelum sisten dilaksanakan sepenuhnya.
“Secara purata, kira-kira 16,000 pergerakan kenderaan di T2 setiap hari, dan sepanjang tempoh percubaan itu akan dapat membantu menentukan penyesuaian operasi yang optimum sebelum sistem dilaksanakan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Diperkenalkan di KLIA T1 pada tahun lepas, menurut MAHB sistem itu merekodkan pengurangan kesesakan yang ketara.
“Kurang daripada satu peratus kenderaan melebihi tempoh dibenarkan, bersamaan kira-kira 194 daripada 43,000 kenderaan setiap hari.
“Peningkatan ini telah membantu mengekalkan trafik yang lebih lancar sambil memastikan operasi trafik yang lebih selamat.
“Pengenalan VAMS di T2 dijangka memberikan manfaat sama, iaitu meningkatkan pergerakan kenderaan dan keselamatan serta masa menunggu lebih singkat, selain mengukuhkan komitmen KLIA Airports dalam menyediakan pengalaman penumpang yang lebih efisien dan berfokus kepada perkhidmatan di lapangan terbang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial