Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemberian Khas 40 Peratus Hasil Sabah Bukan Sandiwara Politik - PM Anwar

16/11/2025 02:50 PM

KENINGAU, 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak menipu rakyat Sabah berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya komited menyelesaikannya secara telus dan menyeluruh.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus itu.

Beliau berkata isu tersebut bagaimanapun telah dipolitikkan pihak lawan, khususnya pembangkang, sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Pembangkang kata kerajaan buat rayuan, maknanya ia tidak betul. Pilihan raya bukan tempat untuk menipu. Ada parti yang sebelum ini berada dalam kerajaan, dalam kabinet, pun tahu bahawa apa yang kita rayu hanyalah berhubung alasan penghakiman.

“Kita tidak merayu mengenai 40 peratus. Peguam Negara juga telah menjelaskan bahawa tiada rayuan terhadap isu ini. Saya sendiri menyebut di Parlimen bahawa kerajaan tidak akan merayu mengenai 40 peratus hasil Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid di Padang Kampung Menawo Ulu, di sini.

Perdana Menteri berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada proses rundingan teknikal untuk menentukan jumlah sebenar hasil Sabah serta angka tepat pemberian khas 40 peratus mengikut peruntukan Perlembagaan.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican akan berada di Sabah esok untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri berkaitan hak tuntutan berkenaan.

“Perlu bincang parameter, perincian dan aspek teknikalnya. Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof juga akan mempengerusikan mesyuarat.

“Kita perlu teliti berapa betul-betul hasil Sabah, jumlah sebenar 40 peratus itu, dan kemampuan kewangan kerajaan. Ini bukan sembang kosong,” katanya.

Pada Jumaat, Datuk Armizan Mohd Ali, wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63), berkata perbincangan pertama mengenai isu pemberian khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil akan diadakan esok di Menara Kinabalu.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa sebelum ini tidak pernah ada rundingan serius mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah kecuali ketika pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Dulu mereka cakap sahaja. Rundingan tiada. Serius pun tiada. Sekarang kita ambil alih dan kita buat secara serius,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah calon PH Datin Rufinah Pengeran bagi DUN Tulid, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bagi DUN Sook, Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Sementara itu, Anwar menyeru rakyat Sabah untuk membuat pilihan tepat dalam memilih calon yang bakal menjadi wakil rakyat di DUN Tulid serta Sook, terutamanya individu yang mampu membawa pembangunan berterusan dan memperjuangkan hak negeri secara konsisten. 

“Sebenarnya saya datang di sini untuk menyatakan sokongan dan minta kawan-kawan di sini untuk faham mengapa kita mahu memilih calon yang boleh kerjasama dengan kita. Rufina di Tulid dan Arthur Kurup di Sook itu dalam rangkaian kerjasama kita di peringkat negeri serta Persekutuan.

“Mengapa perlu kerjasama? Jika benar mahu membangunkan negeri, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah penting. Saya perhatikan dalam kempen ada yang asyik mengajak berlawan — suku kaum ini lawan suku kaum itu, negeri ini lawan negeri itu. Yang untung siapa? Pemimpin besar yang ajak kita berlawan itu juga yang kaya-raya,” katanya.

DUN Tulid dipertandingkan buat kali pertama pada PRN lepas dan mempunyai 16,551 pengundi pada PRN kali ini, manakala DUN Sook mempunyai 20,349 pengundi. Kedua-duanya terletak dalam Parlimen Keningau kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu.

Pada PRN ke-17, Rufina berdepan saingan 14 penjuru iaitu yang terbanyak manakala Arthur Kurup yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan ditentang empat calon lain. 

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov ini.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis bersama pasangan.

Untuk berita terkini mengenai PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan