Malaysia Perlu Guna Pakai Visi Sifar Untuk Cegah Kematian Di Jalan Raya - Lee Lam Thye

17/11/2025 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 16 Nov  (Bernama) -- Malaysia perlu segera memberi keutamaan kepada keselamatan jalan raya dengan mengguna pakai falsafah “Visi Sifar” bagi mencegah kematian dan kecederaan serius pada masa hadapan, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat  Tan Sri Lee Lam Thye bersempena Hari Peringatan Sedunia untuk Mangsa Kemalangan Jalan Raya.

Beliau berkata hari peringatan tersebut adalah bagi menghormati mereka yang terkorban atau cedera dalam kemalangan jalan raya, yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan komuniti.

“Setiap nyawa yang hilang di jalan raya adalah satu kehilangan besar. Di sebalik setiap statistik itu ada  ibu bapa, anak atau rakan yang ketiadaan mereka tidak dapat dicari ganti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata tema tahun ini “Kehilangan Bakat” menekankan impak sosial lebih besar akibat kematian kemalangan di jalan raya, apabila kehilangan nyawa turut membawa kepada kehilangan potensi, idea dan sumbangan kepada keluarga serta masyarakat.

Beliau menegaskan kemalangan jalan raya kekal sebagai cabaran utama kesihatan awam, yang memberi kesan tidak seimbang kepada generasi muda kerana golongan remaja dan dewasa muda menyumbang kepada peratusan kematian lebih tinggi.

“Statistik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan 1.19 juta orang maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, dengan kecederaan di jalan raya menjadi punca utama kematian bagi kanak-kanak dan golongan muda berumur 5-29 tahun. Lebih separuh daripada jumlah kematian ini melibatkan pengguna jalan raya yang lebih berisiko seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal,” katanya.

Sementara itu di Malaysia, kira-kira 600,000 kemalangan kemalangan jalan raya direkodkan pada 2023, menyebabkan 6,443 kematian atau purata 18 kematian sehari, dengan pemanduan laju menyumbang kepada 80 peratus punca kemalangan maut.

Lee berkata kemalangan jalan raya boleh dielakkan kerana ia sering berpunca daripada kesilapan manusia, reka bentuk jalan yang tidak selamat, penguatkuasaan yang lemah serta tingkah laku tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata untuk mencapai Visi Sifar perlu perubahan minda, dengan keselamatan menjadi asas kepada setiap keputusan, daripada reka bentuk jalan raya dan piawaian keselamatan kenderaan hingga kepada pendidikan, penguatkuasaan dan tingkah laku pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, Lee menggesa kerajaan, agensi penguat kuasa, pakar keselamatan jalan raya, pemain sektor swasta dan masyarakat awam untuk memperkukuh dasar, menguatkuasakan undang-undang trafik dan memupuk budaya menghormati serta prihatin dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Pada hari peringatan ini, marilah kita perbaharui komitmen untuk mencegah tragedi pada masa hadapan. Marilah kita berikrar untuk menjadikan jalan raya kita selamat untuk semua pejalan kaki, penunggang motosikal, penumpang serta pemandu, dan berusaha ke arah Visi Sifar: sifar kematian, sifar alasan,” katanya. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan