Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kempen PRN Sabah Ke-17 Mula Rancak

16/11/2025 07:54 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Sehari selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, suasana kempen pilihan raya di seluruh negeri mula rancak dengan pimpinan nasional, negeri dan calon parti politik turun padang menyantuni pengundi di pelbagai lokasi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri lawatan kerja dan program kempen di pedalaman Sabah dengan menghadiri Program Ramah Mesra YAB PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid di Padang Kampung Menawo Ulu, Keningau pada 10.30 pagi.

Beliau kemudian menghadiri program serupa bagi DUN Melalap di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Tenom pada 12.20 tengah hari.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menghadiri dua program rasmi, bermula dengan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Sabah di Peranauan Inn D’Sangkir, Kota Belud pada 10 pagi, sebelum menghadiri Program Santuni Pekebun Kecil Peringkat RISDA Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada 3 petang.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor turut meneruskan gerak kerja kempen di Tuaran dengan mengadakan pertemuan bersama masyarakat di Dewan Bajau Samah pada 11 pagi.

Sementara itu, calon PKR bagi DUN Merotai Datuk Ruji Ubi pula memulakan hari kempen beliau seawal 4.30 pagi dengan bersolat subuh di Masjid Kampung Haji Matahir.

Beliau turut dijadual mengadakan tinjauan mesra di beberapa lokasi termasuk Restoran Santai Corner, Pasar Hotspring dan Pasar Sin Onn, Hotspring Taman Ehsan selain menghadiri majlis doa kesyukuran di Kampung Muhibbah Raya.

Ruji akan mengadakan tinjauan mesra di Lorong New Asia dan di beberapa lokasi lain petang ini sebelum mengakhiri program hari ini dengan ceramah kelompok di Hotspring Survey Supermarket pada 8 malam.

Secara keseluruhannya, 596 calon disahkan bertanding di 73 kerusi DUN pada PRN Sabah kali ini dengan PH meletakkan calon di 22 kerus, BN di 45 kerusi manakala GRS 55 kerusi.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan