Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

500 Warga Bandar Tun Razak Terima Bakul Ihsan MADANI

11/10/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Seramai 500 individu daripada golongan memerlukan di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan Bakul Ihsan MADANI hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang mewakili isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Menurut Azman, inisiatif yang diselaraskan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan MyPrihatin itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyantuni serta meringankan beban golongan memerlukan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kali ini, kita serahkan bantuan kepada 500 penerima lagi dan Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu sekali gus mengurangkan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bakul Ihsan MADANI yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula.

Seorang penerima, Hanipah Sarif, yang telah menetap di Bandar Tun Razak lebih 20 tahun, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan.

“Ini kali ketiga saya menerima Bakul Ihsan MADANI dan saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan hari ini,” katanya.

Ad Banner

Sementara itu, Yusnita Harun, 54, yang hadir bersama suaminya Muhd Ashaari Rusdi, 55, berkata barangan keperluan asas yang diterima itu sedikit sebanyak membantu menampung keperluan mereka sekeluarga termasuk lima anak yang masih bersekolah.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana meringankan beban kami sekeluarga. Bantuan ini memang amat membantu dalam kehidupan seharian,” katanya yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan