Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: RM6 Bilion Untuk Sarawak Cermin Komitmen Kerajaan Pusat

11/10/2025 01:06 PM

KUCHING, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM6 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI memperkukuh hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, sekali gus memastikan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan keprihatinan terhadap pembangunan negeri berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan pusat kerana memberikan peruntukan sebanyak RM6 bilion dalam belanjawan akan datang. Sudah tentu ini dapat merapatkan lagi hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Ad Banner
Ad Banner

“Apa yang lebih penting ialah memastikan hala tuju pembangunan ekonomi negara, khususnya di Sarawak, terus mantap,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Lahir ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi masing-masing berjumlah RM6.9 bilion dan RM6 bilion, meningkat berbanding RM4.4 bilion dan RM2.9 bilion pada 2022.

Peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan prasarana asas antara Sabah dan Sarawak dengan negeri lain di Semenanjung, sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ad Banner

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan peruntukan (pemberian khas) RM600 juta di bawah MA63 untuk tahun depan

Kerajaan juga memperuntukkan RM350 juta bagi menaik taraf struktur turapan jalan di seksyen Durin dan Salim di bawah Red Line di Sibu, menjadikan jumlah keseluruhan projek infrastruktur rakyat di Sabah dan Sarawak mencecah RM48 bilion.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan