PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Pejabat Kementerian Kewangan di sini pada 3.30 petang untuk ke Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2026.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berbaju Melayu berona biru muda lengkap bersamping, meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraf tangan tempatan iaitu beg fail hitam dengan corak anyaman bersulam untuk membawa dokumen Belanjawan 2026.
Beg tenunan rekaan istimewa itu dihasilkan secara manual oleh orang kurang upaya Anthony Liew You Chung, 37, dari Kuching, Sarawak.
Beg itu diperbuat daripada sarung tangan nitril terpakai yang dikitar semula manakala proses pembuatannya disempurnakan oleh perusahaan sosial berpusat di Kuching.
Ia menjadi simbol usaha kerajaan dalam memperkasa komuniti rentan, menyokong perusahaan sosial dan memupuk nilai kelestarian dalam pembangunan negara.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan ke Parlimen, Pegawai Hal Ehwal Islam (Pengukuhan) Unit Integriti Kementerian Kewangan Muhamad Fierdauss Rosli memimpin bacaan doa.
Perdana Menteri hanya tersenyum dan mengangkat tangan isyarat bagus ketika ditanya pemberita yang berkumpul di bangunan berkenaan sejak 2 petang mengenai kemungkinan terdapat berita baik untuk golongan M40.
Belanjawan 2026 akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.
Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial