Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026 Perkukuh Reformasi Sistem Kesihatan Negara - KKM

11/10/2025 10:06 AM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 merupakan kesinambungan penting dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara melalui agenda reformasi menyeluruh berteraskan prinsip MADANI, dengan matlamat memastikan setiap rakyat menikmati penjagaan kesihatan berkualiti serta akses rawatan yang inklusif dan saksama, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut KKM, peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 membolehkan kementerian itu meneruskan pelaksanaan agenda reformasi kesihatan secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Dalam kenyataan hari ini, KKM berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk memperkukuh sistem kesihatan dan meningkatkan manfaat kepada rakyat di seluruh negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi tahun depan, KKM menerima peruntukan sebanyak RM46.52 bilion, meningkat RM1.25 bilion atau 2.76 peratus berbanding RM45.27 bilion pada 2025. Daripada jumlah itu, RM39.78 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM6.745 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. 

“Peningkatan ini merupakan langkah permulaan kepada pelaksanaan Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan fasiliti kesihatan sedia ada terus beroperasi secara optimum, di samping melaksanakan projek baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Secara keseluruhan, peruntukan KKM mewakili 11.04 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan Persekutuan 2026 berjumlah RM421.2 bilion.

Ad Banner

Antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan termasuk usaha mempertingkatkan kebajikan petugas kesihatan, dengan seramai 4,500 doktor kontrak dan 935 jururawat akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun hadapan. 

Bagi menghargai komitmen petugas kesihatan, kerajaan turut menaikkan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan sehingga 40 peratus berkuat kuasa 1 Okt 2025 dengan peruntukan RM120 juta setahun. 

Dalam masa sama, kadar fi perundingan bagi pengamal perubatan swasta disemak semula antara RM10 hingga RM80, manakala hampir RM2.2 bilion disediakan untuk membina, menyelenggara dan membaiki kuarters bagi penjawat awam termasuk doktor, jururawat, anggota tentera, polis, guru, bomba dan penjara.

Bagi mempertingkatkan mutu prasarana kesihatan awam, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik di seluruh negara, selain RM100 juta bagi menaik taraf wad hospital daerah dan RM755 juta untuk menggantikan serta memperoleh peralatan perubatan baharu. 

Dalam usaha mengurangkan kesesakan di hospital awam, KKM berkata sebanyak RM140 juta diperuntukkan bagi meneruskan kerjasama penyumberluaran pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta, di samping RM30 juta untuk memperkasa peranan klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan pakar kepada komuniti.

Dua fasiliti baharu turut akan dibangunkan, iaitu Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah dan Pusat Jantung Sabah.

“Bagi menangani isu kenaikan inflasi perubatan, kerajaan menyediakan dana bersama industri berjumlah RM60 juta untuk memperkenalkan produk insurans asas mampu milik serta melaksanakan sistem Diagnosis Related Group.

“Skim mySalam turut diteruskan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah, manakala pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera bagi melanggan pelan asas insurans kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam memperkasa agenda nasional Malaysia Sihat, kerajaan bersetuju menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman keras mulai 1 Nov 2025, melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan dan duti import ke atas produk terapi gantian nikotin sehingga 31 Dis 2027, serta memperluas pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan vaksinasi kepada semua jenis vaksin berdaftar dan diluluskan oleh KKM. 

Hasil tambahan daripada duti eksais itu akan diagihkan kepada KKM bagi membiayai inisiatif kesihatan paru-paru, rawatan diabetes dan penyakit jantung.

KKM menegaskan komitmen untuk melaksanakan amanah kerajaan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan rakyat terus menikmati sistem kesihatan yang berkualiti, adil dan menyeluruh, selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI memperkasa kesejahteraan rakyat melalui kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan