Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sungai Kelantan Saksi Solidariti Untuk Gaza, Hampir 1,000 Bot Layarkan Sokongan

10/10/2025 09:59 PM

KOTA BHARU, 10 Okt (Bernama) -- Sungai Kelantan hari ini menjadi saksi lautan manusia dan bot apabila hampir 1,000 bot pelbagai saiz berkonvoi sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza yang kini berdepan serangan berterusan rejim Israel.

Konvoi “500 Pelayaran Bot Solidariti Kelantan Untuk Gaza” itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila penyertaan melebihi sasaran asal justeru menggambarkan keprihatinan tinggi rakyat negeri ini terhadap penderitaan saudara seagama di bumi bergolak tersebut.

Penyelaras bot, Mohd Nazaruddin Abu Bakar berkata sambutan luar biasa yang diterima mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Kelantan dalam menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada awalnya, kami menyasarkan hanya 500 bot namun sambutannya amat luar biasa apabila lebih 1,000 bot hadir. Peserta terdiri daripada persatuan nelayan di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Kuala Besut yang datang atas semangat sukarela bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata lebih 700 bot telah berdaftar secara rasmi namun ramai lagi pemilik bot yang datang tanpa pendaftaran kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta dalam perhimpunan simbolik itu.

Menurut Mohd Nazaruddin, lebih 10,000 peserta menyertai program berkenaan yang disifatkannya sebagai bukan sekadar konvoi di atas air, tetapi lambang keprihatinan dan suara rakyat Malaysia menentang kezaliman yang berlaku di Gaza.

Ad Banner

“Kami berkonvoi sejauh lapan kilometer merentasi Sungai Kelantan menuju ke Lembah Sireh, berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra. Saat paling menyentuh hati apabila melihat orang ramai di sepanjang tebing sungai melambai, mengibarkan bendera Palestin dan bersorak memberi sokongan.

“Perhimpunan di Sungai Kelantan ini juga membawa mesej jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tetap bersama perjuangan Palestin. Ia simbolik kepada keberanian aktivis kemanusiaan antarabangsa yang menggunakan laluan laut untuk memecah sekatan Israel dan menghantar bantuan ke Gaza,” katanya.

Tambah beliau, konvoi itu turut diiringi pelbagai agensi dan pasukan keselamatan bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.

Sementara itu, peserta, Baharom Che Ishak, 45, berkata beliau menyertai konvoi itu secara sukarela walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri kerana mahu menunjukkan sokongan kepada rakyat Gaza.

“Kalau diberi peluang, saya mahu ke Gaza sendiri, tetapi memandangkan ia tidak mungkin, penyertaan dalam program ini sudah cukup bermakna bagi saya. Ia tanda kecil sokongan kita kepada mereka yang berjuang mempertahankan tanah air dan maruah Islam.

“Saya juga berasa bangga melihat ribuan rakyat Kelantan bersatu hati tanpa mengira latar belakang untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin,” katanya.

Program yang berlangsung kira-kira dua jam setengah itu turut disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dengan peserta mengibarkan bendera Malaysia serta Palestin sepanjang konvoi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan