Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

33 NGO Berhimpun Di P.Pinang Nyata Solidariti Bersama Gaza

10/10/2025 05:24 PM

GEORGE TOWN, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat pelbagai kaum dan agama berhimpun secara aman di hadapan Masjid Kapitan Keling, di sini hari ini bagi menyatakan solidariti bersama penduduk Gaza.

Himpunan #stand4sumud itu turut diadakan bagi menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens To Gaza (TMTG).

Jurucakap himpunan itu, M.S Anuar Mahmod berkata mereka juga mendesak pembukaan segera sempadan Gaza serta penubuhan koridor kemanusiaan untuk membolehkan bantuan makanan, ubat-ubatan, air bersih dan peralatan perubatan disalurkan tanpa sekatan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata semua NGO yang terlibat juga menggesa masyarakat seluruh dunia bersatu dan terus melancarkan gerakan mesej, advokasi dan solidariti sehingga Palestin bebas merdeka.

"Himpunan hari ini juga berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang dan agama yang hadir menyatakan solidariti bersama Gaza, ini satu suara rakyat Malaysia yang menolak kezaliman terhadap rakyat Palestin dan aktivis keamanan dunia," katanya kepada Bernama selepas himpunan itu.

Antara NGO yang terlibat termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Pulau Pinang, Citizens International, Marhaen Penang, Liga Muslim Pulau Pinang, Palestine Solidarity, OWL Center For Peace, Persatuan Penggerak MADANI Pulau Pinang, Global Peace Mission dan Majlis Belia India Malaysia Pulau Pinang.

Ad Banner

Beberapa pemimpin NGO turut berucap dalam himpunan selama lebih 30 minit itu termasuk Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Pulau Pinang V. Janarthanan yang turut mengecam rejim Zionis kerana menindas rakyat Palestin selain menyatakan sokongan penuh kepada pembebasan Gaza.

"Saya tidak sanggup melihat darah rakyat Palestin dipertaruhkan lagi, malah tidak sanggup melihat anak-anak dan orang (Palestin) menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh rejim Israel," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan