IPOH, 2 Okt (Bernama) -- Lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka mengunjungi Festival Seni Seramik Perak 2025 yang akan berlangsung di sebuah hotel di sini, dari 9 hingga 12 Okt ini.
Pengerusi Persatuan Seni Seramik Perak (Persera) Mohd Shukri Hashim berkata objektif utama festival itu tidak hanya tertumpu untuk menghimpunkan pengkarya tempatan tetapi membuka ruang kolaborasi bersama penggiat seni antarabangsa terutama dari Indonesia dan China.
“Sepanjang empat hari penganjuran, sekurang-kurangnya 50 hasil karya seramik tempatan akan dipamerkan. Turut diadakan bengkel pembuatan seramik serta sesi dialog bersama pakar, kurator dan pengkaji warisan.
“Festival ini juga menjadi platform untuk menjana pendapatan kepada pengkarya melalui jualan produk, di samping menghasilkan dokumentasi lengkap tentang seni seramik Perak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Festival bertemakan ‘Warisan Mencipta Inspirasi, Membina Identiti Madani’ itu dianjurkan bersama Persera dan Artworks Hotel Sdn Bhd, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Perak, UiTM Cawangan Perak, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan beberapa agensi lain.
Mohd Shukri berkata festival berkonsepkan ‘perkampungan seni’ itu akan memberi peluang dan pendedahan kepada masyarakat berkaitan seni seramik melalui aktiviti secara amali, demonstrasi, permainan rakyat serta persembahan kebudayaan.
“Sebanyak 15 reruai pendidikan dan bengkel seramik turut disediakan, melibatkan penyertaan 110 peserta daripada pelbagai institusi termasuk tadika, sekolah menengah, pusat tahfiz serta warga emas,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Perak Dr Mohd Khairi Baharom berkata acara kemuncak festival ialah Simposium Seni Seramik Perak (Pecas) 2025 yang berlangsung pada 10 dan 11 Okt ini.
“Sebanyak 30 hasil karya seni dan kertas kerja akan dibentangkan, masing-masing membawa tema ‘Warisan Seramik Perak dalam Konteks Global dan Inovasi’ serta ‘Masa Depan Industri Seramik Tempatan’.
“Panel terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa yang akan membincangkan isu semasa serta hala tuju industri seramik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial