SUKAN > BERITA

IFC Terus Dirundung Malang, Tunduk 1-3 Kepada Selangor FC

05/10/2025 11:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Episod malang Imigresen FC (IFC) berterusan apabila mereka tewas 1-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Baru Kawan, George Town, hari ini.

Skuad Gergasi Merah tampil garang sejak sepak mula dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang tuan rumah, namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada babak pertama..

Bersambung babak kedua, anak buah Christophe Gamel tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila pemain import dari Belanda, Alvin Fortes meledak gol pembukaan menerusi rembatan kencang pada minit ke-56.

Gol berkenaan berpunca daripada gerakan lincah kapten Faisal Halim yang melakukan hantaran lintang tepat kepada Fortes sebelum pemain itu mudah menewaskan penjaga gol IFCMuhammad Farhan Abdul Majid.

Tersentak dengan jaringan tersebut, IFC mula menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang import Eduardo Sossa menyamakan kedudukan pada minit ke-66.

Namun kegembiraan skuad kendalian Yusri Che Lah itu tidak bertahan lama apabila seminit kemudian, penyerang Selangor FC, Crigor Flores Moraes menjaringkan gol kedua untuk kembali meletakkan pasukan di hadapan.

Faisal Halim kemudian melengkapkan hari gemilang Selangor FC dengan jaringan ketiga pada minit ke-71.

Keputusan itu menyaksikan IFC gagal memburu kemenangan sulung dalam kempen kali ini selepas enam perlawanan dan kini tercorot dalam tangga liga dengan dua mata, manakala Selangor berada di kedudukan kelima dengan sembilan mata.

Sementara itu, aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila menumpaskan PDRM FC 7-0 dalam saingan Liga Super, malam ini.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan berhati-hati mencari rentak sebelum pemain lincah JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi menghukum kealpaan benteng pertahanan PDRM dengan dua jaringan berturut-turut pada minit ke-28 dan ke-33, sekali gus memastikan pasukannya mendahului pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Arif Aiman terus menjadi duri dalam daging pertahanan lawan apabila kali ini menghasilkan umpanan cantik yang disempurnakan Bergson da Silva pada minit ke-54 sebelum Eddy Israfilov menambah gol keempat pada minit ke-67 untuk mengukuhkan kedudukan pasukan.

Tidak ketinggalan, Jairo da Silva turut mencetak nama selaku penjaring apabila menambah gol kelima pada minit ke-77, disusuli Romel Morales yang menyumbang gol keenam pada minit ke-83 sebelum Jairo sekali lagi meledak pada minit ke-85, melengkapkan pesta jaringan JDT.

JDT mengekalkan rekod tanpa kalah untuk kekal di puncak liga dengan 21 mata selepas tujuh perlawanan, manakala PDRM FC berada di tangga kelapan dengan enam mata daripada enam perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan