Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Orang Ramai Dijemput Meriahkan Mini Karnival MOT 2025 Di TBG

28/09/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Orang ramai dijemput memeriahkan Mini Karnival MOT 2025: Hari Bertemu Pelanggan dan Karnival Kerjaya yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Terminal Bersepadu Gombak (TBG), dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk peluang kerjaya, Jualan Rahmah, cabutan bertuah, pameran interaktif dan hiburan digital selain kemasukan adalah percuma.

Antara pengisian utama ialah program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kaunter pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), pameran kerjaya, pameran digital serta pertandingan sukan dan permainan video seperti Roblox dan Nintendo Switch.

Ad Banner

Sementara itu, menerusi segmen Karnival Kerjaya, orang ramai didedahkan dengan peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan, logistik dan mobiliti termasuk maklumat laluan kerjaya, kelayakan dan kemahiran yang diperlukan pihak industri.

Segmen pameran digital pula memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri pelbagai aplikasi serta perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan MOT dan agensinya, sejajar dengan aspirasi pendigitalan negara.

Menurut kenyataan itu, kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor turut membolehkan penglibatan pelajar sekolah, kolej vokasional dan institusi pengajian tinggi dalam pelbagai aktiviti pendidikan bagi menyemai minat mereka terhadap bidang pengangkutan, logistik dan mobiliti.

“Mini Karnival ini menjadi platform mesra rakyat yang menghubungkan MOT secara langsung dengan masyarakat bagi membolehkan mereka menyuarakan pandangan, mendapatkan maklumat serta menyelesaikan urusan terus dengan pegawai kementerian dan agensi berkaitan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan rakyat, malah meningkatkan keyakinan terhadap MOT sebagai penyedia perkhidmatan awam yang telus, mesra dan mudah diakses,” menurut kenyataan itu.

Majlis perasmian TBG akan turut disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

MOT memaklumkan penganjuran program seumpama itu akan diteruskan pada masa depan bagi memperkukuh hubungan kerajaan dan rakyat, memperluas peluang kerjaya, memperkenalkan inovasi digital serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan kementerian dalam membangunkan sektor pengangkutan negara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan