KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara rakyat daripada semua lapisan masyarakat termasuk nelayan, petani, pekerja kilang, peniaga kecil serta anak muda dan bukan hanya suara di sebalik mikrofon politik di atas pentas himpunan.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata di bawah pimpinan kerajaan MADANI, rakyat dibenarkan berhimpun namun suara rakyat tidak diperalat dan demokrasi tidak disandera demi dendam serta perebutan kuasa.
“Malaysia MADANI menghormati hak berhimpun dan bersuara. Kerajaan memastikan tiada tindakan keras diambil, tiada gas pemedih mata ditembak dan tiada pentas dihancurkan. Hak rakyat untuk bersuara dijamin.
“Namun, ada perbezaan besar antara suara rakyat dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba mengheret rakyat untuk mengabsahkan nafsu kuasa mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiri atas mandat pilihan raya, selain turut menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan gabungannya supaya kembali ke gelanggang pilihan raya sekiranya yakin suara rakyat telah berubah.
“Bukan melalui pentas jalanan, bukan melalui angka yang dibesar-besarkan dan bukan dengan memanipulasi isu kaum dan agama untuk menghasut emosi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial