Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Tubuh Pasukan Petugas Kaji Dasar, Hala Tuju Hukuman Mati - Azalina

22/07/2025 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan satu pasukan petugas di bawah Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah (CLRC) untuk mengkaji secara komprehensif dasar serta hala tuju berkaitan hukuman mati di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan pasukan itu diputuskan kerajaan pada 9 Julai lepas.

“Kajian ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dan berasaskan bukti dengan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk keluarga banduan akhir dan keluarga mangsa.

“Kerajaan komited untuk terus meneliti perkara ini secara mendalam sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai hala tuju dan langkah seterusnya ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati serta sama ada kerajaan akan mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati selaras sokongan Malaysia terhadap resolusi moratorium (penangguhan) oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Azalina berkata penubuhan pasukan itu berikutan cadangan yang dikemukakan pihak berkepentingan dalam beberapa sesi libat urus pada April 2025, yang mencadangkan supaya kajian lebih mendalam dilaksanakan memandangkan masih terdapat banduan menunggu pelaksanaan hukuman mati.

Beliau berkata sesi libat urus yang melibatkan agensi kerajaan, badan guaman, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) bertujuan mendapatkan pandangan awal berhubung hala tuju dasar itu termasuk mempertimbangkan aspek pelaksanaan, perundangan dan hak asasi manusia berkaitan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.

Menurutnya langkah reformasi berhubung hukuman mati dimulakan sejak 2018 dengan memansuhkan hukuman mati dan menangguhkan pelaksanaannya menerusi penguatkuasaan moratorium malah dalam tempoh itu rayuan pengampunan banduan akhir masih dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Susulan pewartaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 (Akta 847), seramai 906 banduan telah dikenal pasti layak memohon semakan dan sehingga Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan telah meringankan hukuman bagi 863 banduan.

“Bagaimanapun, terdapat 49 banduan yang masih kekal dijatuhkan hukuman mati dan angka ini dijangka meningkat sekiranya tiada penyelesaian dasar yang tuntas dirangka,” katanya.

Tambahnya moratorium pelaksanaan hukuman mati masih berkuat kuasa pada masa ini selaras pendirian Malaysia yang menyokong resolusi moratorium oleh UNGA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan