Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Perikanan (Pindaan) 2025 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

23/07/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan menaikkan penalti am daripada RM20,000 kepada RM100,000 bagi kesalahan berkaitan perikanan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan turut dibentang pada mesyuarat kali ini. 

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU itu bertujuan menambah baik Akta Perikanan 1985 (Akta 317) serta menguatkuasakan perkara berkaitan elemen pengurusan perikanan baharu selaras dengan kehendak dan perkembangan semasa industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Ia antaranya meminda Seksyen 26 iaitu peruntukan bagi kesalahan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, mana-mana perkakas menggunakan arus elektrik dan alat yang dilarang. 

Selain itu, RUU berkenaan meminda subseksyen 27(1) Akta 317 bagi memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport, mengangkut atau menyimpan apa-apa mamalia akuatik atau penyu atau mana-mana bahagian atau terbitannya yang dijumpai di luar bidang kuasa mana-mana negeri. 

“Subfasal 21(b) bertujuan untuk meminda subseksyen 27(4) Akta 317 untuk menaikkan hukuman denda bagi kesalahan yang berhubungan dengan apa-apa mamalia akuatik atau penyu atau mana-mana bahagian atau terbitannya di perairan perikanan Malaysia daripada RM5,000 kepada RM250,000,” menurut naskhah itu. 

Turut dibentang bagi bacaan kali pertama ialah RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 yang antara lain untuk membenarkan Perintah Kehadiran Wajib diberikan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan yang dikenakan hukuman pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan dilaksanakan pada persidangan kali ini.   

Menurut naskah biru, rang undang-undang itu bertujuan meminda subseksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) untuk memberi mahkamah kuasa memerintahkan mana-mana pesalah disabitkan dan dikenakan hukuman pemenjaraan bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun bagi menjalani Perintah Kehadiran Wajib sebagai ganti kepada pemenjaraan.

“Pada masa ini, Perintah Kehadiran Wajib hanya boleh diberikan kepada mana-mana pesalah yang disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang dia boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

“Dengan pindaan ini, Perintah Kehadiran Wajib boleh diberikan kepada mana-mana pesalah yang disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang dia boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun tanpa mengambil kira tempoh had masa tiga tahun,” menurut naskah biru.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan