KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) – Demensia, yang sering bermula secara perlahan seperti terlupa nama, mengulang-ulang cerita, atau tersalah meletakkan barang, kini menjadi epidemik senyap yang semakin berkembang tanpa disedari di negara ini.
Penyakit ini dipacu oleh populasi yang semakin menua serta peningkatan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, sehingga 16 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas tidak terkecuali mengalaminya.
Berdasarkan kajian tempatan, lebih 200,000 rakyat Malaysia hidup dengan demensia, namun angka ini mungkin lebih rendah daripada jumlah sebenar kerana tahap kesedaran yang rendah serta pemeriksaan yang terhad.
Di peringkat global, demensia menjejaskan lebih daripada 55 juta orang, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jumlah ini akan meningkat kepada 78 juta menjelang tahun 2030.
Pakar Neurologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Mohamad Imran Idris berkata apabila seseorang sudah tidak mampu melakukan tugas yang dahulunya mudah seperti memasak, mengurus kewangan, atau berkomunikasi, inilah tanda awal demensia yang perlu diberi perhatian.
Beliau menjelaskan demensia berbeza dengan masalah lupa yang biasa terjadi akibat faktor usia. Ciri utama demensia bukan sekadar lupa, tetapi apabila kemahiran berfikir terganggu sehingga menjejaskan kehidupan harian, seperti kesukaran berbahasa, membuat pertimbangan, bahkan mengenali wajah yang biasa dilihat.
“Jika ini berlaku, inilah masa untuk mendapatkan bantuan. Kekeliruan biasa berlaku antara demensia dan penyakit Alzheimer. Alzheimer hanyalah satu daripada jenis demensia; demensia adalah istilah umum,” jelasnya.
“Alzheimer ialah penyakit yang paling dikenali, tetapi di Malaysia, demensia vaskular yang disebabkan oleh aliran darah ke otak yang terganggu, sering berlaku selepas strok atau disebabkan oleh penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, juga sangat biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Imran berkata keadaan seperti hipertensi, kolesterol tinggi, merokok dan diabetes merupakan penyumbang utama kepada demensia vascular dan semuanya biasa dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Demensia sering dianggap sebagai sekadar proses penuaan atau kemurungan tetapi puncanya mungkin bersifat perubatan malah pada orang dewasa yang lebih muda.
“Ia bukan hanya dialami oleh warga emas. Kami telah melihat individu berusia 30-an dan 40-an menunjukkan tanda awal demensia selepas mengalami strok atau bertahun-tahun menghidap penyakit kronik yang tidak dikawal dengan baik,” jelasnya.
Dr Imran menegaskan bahawa walaupun diet sihat dan senaman diketahui dapat menyokong fungsi otak, tidur yang cukup dan interaksi sosial juga sangat penting.
“Bersosial dengan berkomunikasi bersama rakan, menyertai perbualan atau interaksi spontan dapat mencabar otak dan membantu mengekalkan fungsi kognitif. Walaupun permainan digital yang berulang boleh dirasakan seperti mengasah keupayaan otak, impak jangka panjangnya tidak signifikan,” katanya.
Walaupun demensia lama dianggap sebagai diagnosis tanpa harapan, Dr Imran berkata kini terdapat rawatan baharu yang mampu memperlahankan perkembangan penyakit tersebut melalui penggunaan ubat-ubatan.
“Alat saringan daripada penilaian kognitif digital hingga ujian darah yang mengesan perubahan awal pada otak, semakin mudah diakses. Namun, ujian genetik perlu dilakukan dengan pertimbangan yang teliti dan hanya atas nasihat perubatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar masyarakat mula memberi perhatian serius kepada kesihatan otak pada usia 40-an dan 50-an serta mengawal tekanan darah, kekal aktif dalam aktiviti sosial, tidur dengan nyenyak dan makan makanan yang seimbang.
“Ini bukan sekadar tabiat yang baik, tetapi pelaburan jangka panjang untuk kesihatan kognitif anda. Jika kita menjaga jantung untuk mengelakkan serangan jantung, mengapa tidak melakukan perkara sama untuk otak ? Demensia bukan lagi masalah golongan warga emas, dan mengabaikannya tidak akan membuatkan ia hilang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial