KOTA BHARU, 16 Julai (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup masuk 1.14 juta batang rokok putih dalam serbuan di Kampung Alor Mengkuang, Pasir Mas, semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan pemantauan telah mengesan sebuah lori tiga tan di kawasan Chabang Empat menghala ke Kampung Ana, Tumpat.
Beliau berkata anggota PPM bertindak mengejar lori berkenaan, namun pemandunya enggan memberhentikan kenderaan itu.
“Keadaan menjadi lebih tegang apabila dua kenderaan dipercayai tonto cuba menghalang pasukan PPM, termasuk hampir melanggar anggota yang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulafendy berkata pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan kenderaan tonto, namun suspek tetap memecut kenderaan sebelum lori terbabit terbabas dan melanggar tiang parkir di kawasan Pasir Mas.
“Pemandu dilihat melompat keluar dari lori itu dan melarikan diri ke kawasan berhampiran. Pemeriksaan terhadap lori menemukan 114 kotak rokok putih jenama Zon King, dianggarkan berjumlah 1,140,000 batang rokok, dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk lori dan cukai dianggarkan bernilai RM2.3 juta,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial