Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Skoliosis: Kenali Tanda, Fahami Rawatan

24/06/2025 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Tulang belakang sihat sepatutnya kelihatan lurus, tetapi apabila mula melengkung dan membengkok ke tepi seperti huruf S atau C, ia mungkin petanda awal kepada skoliosis iaitu keadaan kesihatan yang sering tidak disedari sehinggalah menjadi lebih serius.

Pakar Bedah Tulang Belakang Pusat Perubatan Sunway (SMC) Bandar Sunway Dr Saw Lim Beng berkata skoliosis ialah satu keadaan tulang belakang melengkung secara tidak normal ke tepi dan selalunya disertai dengan putaran.

“Berbeza dengan tulang belakang normal yang lurus, skoliosis boleh menyebabkan bahu tidak seimbang, badan condong dan bahagian tulang rusuk atau pinggang terbonjol pada sebelah sisi, lalu menyebabkan ketidakseimbangan fizikal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Saw berkata adalah penting untuk mengesan tanda awal skoliosis seperti bahu tidak sama tinggi atau paras pelvis tidak sekata, terutama ketika kanak-kanak sedang berjalan.

Beliau turut memetik satu penerbitan pada 2017 yang mendapati dua hingga tiga peratus daripada populasi Malaysia mengalami skoliosis namun kurang daripada 0.1 peratus merupakan kes serius.

“Kebanyakan kes adalah ringan, dengan lengkungan sekitar 10 hingga 20 darjah, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak sedang membesar,” katanya.

Dr Saw berkata hampir 95 peratus skoliosis dalam kalangan kanak-kanak adalah jenis idiopatik iaitu tanpa diketahui punca. Jenis lain termasuk skoliosis kongenital (sejak lahir), neuromuskular (berkaitan keadaan seperti palsi serebrum) dan degeneratif (biasa berlaku dalam kalangan warga emas akibat kemerosotan tulang belakang).

Beliau berkata waktu sesuai bagi kanak-kanak menajalani saringan tulang belakang ialah semasa usia remaja antara usia 10 hingga 15 tahun kerana pada peringkat ini skoliosis paling berisiko untuk berkembang.

Menurut beliau, skoliosis dapat dikesan menerusi pemeriksaan klinikal seperti ujian lenturan Adam’s Forward, iaitu doktor akan memerhatikan ketidakseimbangan pada bahagian tulang rusuk ketika kanak-kanak membongkok ke hadapan.

Dr Saw berkata pendekatan rawatan berbeza mengikut tahap kelengkungan tulang belakang serta umur pesakit.

“Untuk lengkungan kurang 20 darjah, pemerhatian berkala sudah memadai bagi kanak-kanak sedang membesar mahupun orang dewasa. Sekiranya lengkungan antara 20 hingga 40 darjah, kanak-kanak lazimnya akan diberikan pendakap dan dipantau rapi manakala dewasa pula dalam pemerhatian selang dua hingga tiga tahun.

“Bagi lengkungan melebihi 45 darjah, pembedahan mungkin disarankan sama ada kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa,” katanya.

Walaupun pembedahan skoliosis terbukti berkesan, Dr Saw berkata ia mempunyai risiko tertentu seperti kecerdasan saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan. Komplikasi lain termasuk jangkitan dan ketidakseimbangan tulang belakang selepas pembedahan.

Dr Saw berkata teknologi baharu telah menjadikan pembedahan tulang belakang lebih selamat dan tepat antaranya melalui AiBLE™ Spine Surgical Suite, iaitu yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara - sebuah sistem menggabungkan teknologi pengimejan, panduan navigasi, lengan robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“Dengan kemajuan teknologi, sistem pembedahan tulang belakang terkini seperti  AiBLE™ Spine Surgical Suite telah mengubah cara pembedahan dijalankan, membolehkan ketepatan lebih tinggi, kawalan intraoperatif lebih baik oleh pakar bedah serta proses lebih cekap bagi kedua-dua pakar bedah dan pesakit,” katanya.

Beliau berkata kemajuan dalam teknik pembedahan telah meningkatkan keberkesanan rawatan, keselamatan prosedur serta mempercepatkan proses pemulihan pesakit khususnya bagi kes serius dan memerlukan pembedahan.

“Prosedur pembedahan dengan bantuan robotik, sistem navigasi masa nyata dan penggunaan rod khusus mengikut pesakit telah membantu mengurangkan risiko serta meningkatkan ketepatan. Pembedahan yang dulunya mengambil masa hingga lapan jam kini boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga empat jam sahaja, dengan kebanyakan pesakit dibenarkan pulang seawal hari pertama atau kedua,” katanya.

Sementara itu, Dr Saw berkata penjajaran yang baik amat penting untuk mencegah kerosakan jangka panjang pada tulang belakang dan sendi, selain menjelaskan bahawa postur badan yang lemah serta otot teras tidak kuat boleh meningkatkan risiko masalah tulang belakang terutamanya ketika melakukan aktiviti harian seperti mengangkat atau membongkok.

Beliau menasihati individu, termasuk ibu bapa dan golongan dewasa yang bekerja, agar segera berjumpa doktor sekiranya mengesyaki sebarang gejala berkaitan masalah tulang belakang bagi mendapatkan diagnosis awal.

Sempena Bulan Kesedaran Skoliosis, Dr Saw menggalakkan individu menghidap skoliosis atau pernah menjalani pembedahan tulang belakang untuk menyertai program kesedaran bagi memahami lebih mendalam mengenai keadaan tersebut, penjagaan serta pilihan rawatan sedia ada.

-- BERNAMA

 

(BM - Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan