KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Direktori masjid pelancongan yang boleh diakses dalam versi digital di laman mymuslimtrip.com merupakan panduan kepada pelancong dan pemain industri untuk mengenali serta meneroka pelbagai masjid yang terdapat di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata direktori ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelancong sama ada untuk beribadah, lawatan budaya mahupun pengalaman warisan.
Beliau berkata direktori ini bukan sekadar senarai lokasi tetapi satu platform yang membolehkan pelancong mengakses maklumat tentang masjid secara mudah termasuk latar belakang sejarah, komuniti setempat, kemudahan yang disediakan serta tarikan pelancongan berdekatan.
"Usaha ini turut memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk memainkan peranan dalam pelancongan, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menitikberatkan keterlibatan rakyat dan kesejahteraan bersama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majis Penutup Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid (MTRT) 2025 dan Pelancaran Direktori Masjid Pelancongan di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC) Nur Alyssa Coraline Yussin.
Khairul Firdaus berkata direktori masjid pelancongan ini adalah langkah penting menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 khususnya dalam memperkenalkan masjid sebagai produk pelancongan unik.
"Setakat ini, sebanyak 51 masjid disenaraikan di dalam direktori berkenaan dan mana-mana masjid yang berminat untuk dimasukkan boleh berhubung dengan ITC.
"Antara masjid pelancongan yang sudah boleh diakses di laman My Muslim Trip adalah Masjid Jamek Muhammadi di Kelantan, Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai MTRT 2025, Khairul Firdaus berkata pelancongan masjid harus dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pelawat dengan nilai, warisan dan kesederhanaan Islam serta membuka ruang dialog antara budaya serta agama.
"Saya yakin dengan komitmen kerajaan tempatan dan usaha bersepadu kita semua, Malaysia mampu menjadi peneraju pelancongan masjid di peringkat antarabangsa.
"Sektor pelancongan masjid sedang berkembang dengan pesat dan memainkan peranan penting dalam pembangunan yang mampan dan terancang, seterusnya memberi impak positif kepada kemajuan pelancongan Islam. Ini merupakan langkah yang sangat strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam sektor pelancongan Islam," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial