Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkasa Pelancongan Masjid: ITC Anjur Persidangan Meja Bulat Di Kota Bharu

10/07/2025 01:28 PM

KOTA BHARU, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia terus memacu peranan sebagai peneraju pelancongan Islam global dengan menganjurkan Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid 2025 di Kota Bharu, Kelantan, mulai 13 hingga 15 Julai ini. 

Persidangan anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bakal menghimpunkan lebih 100 pengurus dan sukarelawan masjid dari seluruh negara bagi memperkukuh peranan masjid sebagai mercu tanda pelancongan rohani yang inklusif. 

MTRT 2025 antara lain bertujuan menambah bilangan masjid pelancongan di seluruh negara, memperluas penyertaan sukarelawan dan mempertingkatkan kesiapsiagaan masjid dalam menerima pelawat dari dalam dan luar negara, selaras dengan aspirasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pemangku Ketua Pengarah ITC Nur Alyssa Coraline Yussin berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkenalkan keindahan seni bina dan warisan masjid, malah memupuk kefahaman silang budaya serta menghapuskan salah tanggapan terhadap fungsi sebenar masjid. 

“Masjid harus menjadi ruang yang inklusif dan menyambut semua dengan hormat,” katanya.

Program tiga hari itu akan menampilkan pelbagai pengisian yang memberi fokus kepada pembangunan imej dan pengurusan masjid dalam konteks destinasi pelancongan Islamik. 

Antara slot utama yang dijadualkan ialah ‘Jelajah Rohani di Masjid Inspirasi’, ‘Kemas dan Karisma’ serta ‘Suara Masjid, Wajah Islam’. Peserta juga dijadual menyertai lawatan teknikal ke Masjid Beijing di Rantau Panjang dan Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Kampung Lubok Jambu.

MTRT 2025 dijangka merumuskan satu resolusi bersama yang akan menjadi asas kepada pelan tindakan memperkasakan pelancongan masjid sebagai antara segmen unik dalam industri pelancongan negara.

Sebagai pelengkap persidangan dan usaha menyokong TMM2026, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dijadual melancarkan direktori masjid pelancongan yang dinamakan “Echoes from the Domes” pada 14 Julai. 

Direktori digital itu menyenaraikan maklumat lengkap 51 masjid terpilih dari seluruh negara bagi memudahkan pelancong dalam dan luar negara mengenali serta merancang perjalanan rohani yang lebih bermakna dan mudah. 

“E-direktori Echoes from the Domes memperluas pengaruh budaya Malaysia di mata dunia,” kata Nur Alyssa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan