Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Turkiye Puji ASEAN Sebagai Rakan Strategik Positif, Berhasrat Perluas Kerjasama Ekonomi

11/07/2025 01:04 PM

Oleh Noor Bakthtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Turkiye melihat ASEAN sebagai rakan strategik utama dalam memperluas pengaruh diplomatik dan ekonominya di rantau ini serta menyifatkan hubungan dengan blok itu sebagai berteraskan ‘agenda positif sepenuhnya’.

Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan berkata justeru itu, negaranya berhasrat untuk memperluas hubungan dengan ASEAN menerusi perdagangan, pelaburan dan jalinan hubungan antara rakyat.

“Turkiye tidak mempunyai sebarang masalah dengan negara-negara ASEAN dan ini memberikan peluang yang besar untuk kami terus mengorak langkah dengan agenda positif.

“Jadi, kami di sini untuk meneroka peluang bagi kedua-dua pihak,” katanya ketika menjadi tetamu program The Nation: Diplomatic Dispatch bertajuk Malaysia, Turkiye and the ASEAN Outlook terbitan Bernama TV yang disiarkan pada Jumaat.

Beliau berkata minat komuniti perniagaan Turkiye di ASEAN semakin meningkat dengan lonjakan ketara daripada segi pelaburan dan penglibatan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Mereka telah meningkatkan tahap penglibatan dan pelaburan di negara-negara ASEAN. Ini merupakan satu kelebihan yang besar buat kami, dan begitu juga sebaliknya,” kata beliau.

Fidan berkata interaksi sosial, pelancongan dan pertukaran pelajar turut menyaksikan ‘lonjakan yang signifikan’ daripada kedua-dua pihak.

“Rakyat Turkiye semakin menunjukkan minat yang mendalam terhadap negara-negara ASEAN manakala warga ASEAN pula turut berkunjung ke Turkiye sebagai pelancong,” katanya.

Beliau berkata beberapa kilang Turkiye sedang meneroka kemungkinan berpindah ke rantau ASEAN bagi memanfaatkan kelebihan eksportn dan import sekali gus mencerminkan daya tarikan rantau ini yang semakin meningkat bagi industri Turkiye yang ingin menapak secara strategik di luar negara.

Diplomat kanan Turkiye itu kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri rundingan peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Turkiye telah menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN sejak tahun 2017.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang bermula pada Selasa, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Lebih 1,500 perwakilan dari ASEAN dan rakan strategiknya menyertai 24 mesyuarat peringkat menteri yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas menyandang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan