Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Australia Pertingkat Sokongan Serantau Dengan Pakej Bantuan Kemanusiaan Baharu A$10 Juta

11/07/2025 06:13 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli & Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sehari selepas mengumumkan peruntukan A$1 bilion kepada negara-negara ASEAN bagi mengurangkan impak pemotongan dana oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Australia mempertingkat sokongan serantaunya melalui pakej bantuan baharu A$10 juta khusus bagi kesiapsiagaan mendepani bencana dan bantuan kemanusiaan untuk wanita dan gadis Myanmar yang kehilangan tempat tinggal.

Menteri Luar Australia Penny Wong berkata sumbangan itu membuktikan komitmen berterusan Australia terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan bahawa Kerajaan Australia akan menyediakan tambahan bantuan kemanusiaan sebanyak A$10 juta bagi meningkatkan keupayaan tindak balas bencana di rantau ini... 

“Apabila rantau kita lebih sihat, lebih stabil dan lebih bersiap siaga dalam mendepani bencana, ia turut memastikan sekuriti dan keselamatan Australia,” katanya dalam sidang akhbar di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Pada Khamis lepas, Wong mengumumkan dana pembangunan bernilai lebih A$1 bilion kepada negara-negara ASEAN bagi mengurangkan impak pemotongan dana USAID sebagai sebahagian daripada komitmen Australia untuk memupuk kemakmuran ekonomi yang berkekalan, daya tahan iklim serta kestabilan dan keselamatan serantau.

Susulan itu, Wong berkata dana tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang Australia terhadap rantau ini dan disalurkan sebagai respons kepada pengurangan bantuan daripada rakan -rakan pembangunan lain.

Beliau berkata majoriti bantuan pembangunan negara itu memfokus kepada kawasan kejiranan terdekat termasuk Asia Tenggara.

“Kami bukan kuasa besar, kami juga bukan kuasa yang hebat, kami adalah kuasa sederhana dan rakan dialog lama ASEAN,” katanya sambil menambah langkah mengutamakan bantuan kepada rantau ini memerlukan keputusan sukar terpaksa dibuat terutama bagi negara seperti Timor-Leste dan Myanmar.

Wong turut menyentuh isu ketegangan yang semakin memuncak di Indo-Pasifik dan berkata Australia menyokong keseimbangan strategik di mana tiada negara tunggal yang menguasai.

“Kami mahu melihat rantau di mana tiada satu negara yang menguasai dan tiada negara didominasi, di mana kedaulatan dilindungi, di mana terdapat keseimbangan kuasa, kestabilan strategik, di mana negara-negara boleh membuat pilihan mereka sendiri dan di mana kita tidak melihat paksaan atau tekanan.

“Kami akan terus menjalin kerjasama dengan negara-negara di rantau ini dan di luar bagi memastikan perkara itu... penglibatan berterusan Amerika Syarikat (AS) di rantau ini adalah penting ke arah kestabilan strategik… kami akan terus menjalin kerjasama bukan hanya dengan AS tetapi juga ASEAN bagi memastikan perkara itu, serta negara lain seperti Asia Utara termasuk Republik Korea dan Jepun,” katanya.

Pada masa sama, Wong yang dilahirkan di Malaysia, mengesahkan sokongan kuat Australia terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia.

“Malaysia adalah sebuah negara yang amat saya kenali, negara asal saya dan saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Australia menyokong penuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.

Wong turut berkongsi beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi sempena sambutan ulang tahun ke-70 kehadiran diplomatik Australia di Malaysia.

Beliau berkata hubungan kerjasama Australia dan Malaysia terus berkembang merangkumi bidang seperti pertahanan, keselamatan sempadan, tenaga bersih dan ekonomi digital selain menzahirkan kepentingan kedua-dua negara menjalin kerjasama dalam usaha memastikan rantau yang aman, stabil serta makmur.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan