Mahkamah Rayuan Kembalikan Hukuman 19 Tahun Penjara, 19 Sebatan Ke Atas Lelaki Rogol Adik Kandung

11/07/2025 06:22 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan semula hukuman penjara 19 tahun dan 19 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun kerana merogol dan melakukan serangan seksual fizikal terhadap adik perempuannya yang ketika itu berusia 11 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hashim Hamzah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengurangkan hukuman berkenaan kepada penjara sembilan tahun dan tujuh sebatan.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

Tertuduh, yang berusia 17 tahun ketika kejadian pertama, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol adiknya di sebuah flat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, antara tahun 2018 dan 2019.

Dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua kerana mencabul mangsa pada 12 Jun 2021 di lokasi sama, ketika berusia 20 tahun.

Pada Januari 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan merogol, serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi kesalahan mencabul pada 2021, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan lima sebatan, serta tambahan satu tahun penjara dan dua sebatan di bawah akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan penjara 19 tahun dan 19 sebatan.

Tertuduh juga diarahkan menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.

Bagaimanapun, pada September 2022, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman bagi kesalahan merogol daripada lapan tahun kepada lima tahun, selain mengetepikan hukuman sebatan dan tambahan hukuman di bawah Seksyen 16(1) Akta sama.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun mengekalkan hukuman yang dijatuhkan bagi kesalahan serangan seksual. Mahkamah turut memerintahkan agar hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan hukuman sembilan tahun penjara dan tujuh sebatan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Shahrizam Tuan Lah berhujah bahawa hukuman Mahkamah Tinggi bagi kesalahan merogol adalah tidak mencukupi kerana di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, hukuman maksimum ialah penjara 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mengambil kira tahap keseriusan jenayah melibatkan hubungan adik-beradik.

Sementara itu, Peguam Khor Boon How yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi dengan alasan anak guamnya masih di bawah umur ketika melakukan jenayah tersebut.

Menurutnya, pengembalian semula hukuman asal Mahkamah Sesyen akan menjejaskan peluang anak guamnya untuk menjalani kehidupan sebagai anggota masyarakat yang menyumbang pada usia muda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan