Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio bahawa kekejaman dan ‘pembantaian’ yang berlaku di Gaza, Palestin perlu dihentikan segera.
Perdana Menteri berkata gesaan itu disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat Rubio di Parlimen pada Khamis selain membincangkan perkara lain dalam pertemuan kira-kira 40 minit itu.
“Dia nampak yakin akan ada gencatan senjata (yang akan) membolehkan bantuan kemanusiaan (disalurkan) ke Palestin dan Gaza.
“Mengenai isu-isu lain perdamaian, saya tekankan bahawa kita di sini terkesan juga kalau ada pencerobohan dan gangguan,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.
Rubio berada di sini bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Ini juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.
Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.
Anwar berkata beliau dan Rubio turut membincangkan soal ASEAN.
“AS masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting dan mahu kekal malah meningkatkan kerjasama dengan ASEAN dan negara anggota,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial