Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, AS Ulangi Komitmen Terus Perkukuh Kerjasama

10/07/2025 11:41 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengulangi komitmen bersama untuk terus memperkukuh kerjasama perdagangan, keselamatan, pertahanan dan sektor lain yang berkepentingan bersama, menurut Kementerian Luar.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Negara AS Marco Rubio sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada mesyuarat itu, Mohamad dan Rubio turut mengakui potensi Malaysia dan AS untuk meneroka bidang kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat kedua-dua negara dan rakyatnya.

“Kedua-dua pihak turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan yang sekian lama terjalin berlandaskan saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama.

"Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarangsa yang menjadi kepentingan bersama serta menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama rapat dan membina pada masa akan datang,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Terdahulu, Mohamad dan Rubio memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik Nuklear Awam, yang akan memudah cara kerjasama dalam bidang seperti kepakaran teknikal, pembangunan peraturan, latihan modal insan serta penggunaan teknologi nuklear dalam sektor seperti pertanian, industri dan penjagaan kesihatan.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menyaksikan 24 mesyuarat pada peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Ini merupakan lawatan pertama Rubio ke Asia selaku Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan