Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program MADANI Rakyat 2025 Terengganu Pada 10 Hingga 12 Julai Ini

07/07/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 diteruskan lagi dengan lokasi seterusnya di Terengganu pada 10 hingga 12 Julai ini yang bakal menampilkan pelbagai program dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Penganjur utama PMR kali ini ialah Kementerian Kerja Raya (KKR)  dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selain turut dibantu Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat Induk.

KKR dalam kenyataan memaklumkan program selama tiga hari di Pasar Kedai Payang dan sekitarnya itu bertemakan ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera’, selaras dengan Gagasan Malaysia MADANI dan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan yang seimbang dari segi fizikal dan kerohanian.

“Pembangunan MADANI yang seimbang berupaya melonjakkan lagi kemajuan negara, memacu ekonomi dan paling penting, meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Selaras tema yang dipilih, PMR 2025 Terengganu bakal menampilkan pengisian program lebih bersasar dan dekat dengan keperluan rakyat setempat,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Majlis Penutupan PMR 2025 Terengganu pada 12 Julai dengan majlis dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara dan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan disediakan antaranya kaunter diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia, pemeriksaan kesihatan percuma, karnival tawaran peluang pekerjaan, tawaran gunting rambut dan tukar minyak motosikal percuma. 

Turut ditawarkan khidmat pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, aktiviti pameran dan reruai perkhidmatan kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti serta jualan MADANI

Acara lain yang dijangka mencuri tumpuan ialah persembahan nasyid ‘Tautan Hati Ganu Bersama Rabbani’, majlis Terengganu berselawat dan kenduri kesyukuran, Karnival Candat Sotong, pameran teknologi dan inovasi, pengalaman realiti maya dan cabutan bertuah. 

Bagi kemudahan pengunjung, perkhidmatan bas turut disediakan antara stesen bas ke lokasi program manakala Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menawarkan diskaun khas bayaran letak kereta di sekitar lokasi tersebut sepanjang tempoh acara.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan