Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Di Paris: Penentuan Semula Terma Kerjasama

07/07/2025 09:06 AM

Oleh Mohd Faiz Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Jika Perancis menjangkakan seorang tetamu ‘pak turut’, jangkaan mereka ternyata meleset. Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bangkit untuk berucap di Sorbonne pada 4 Julai, ucapan beliau mengandungi bukan sahaja pujian kepada tradisi intelektual Perancis malah isu atau cabaran terhadap andaian masa depannya.

Disulam dengan rujukan kepada Sartre dan Montesquieu, Camus dan Tocqueville, dan tesis Pirenne sebagai tambahan, ia adalah satu ‘jurus berkuasa’ dalam diplomasi intelektual – menghargai dan bersantun namun pada masa sama sarat keberanian.

Lawatan itu, yang julung kalinya oleh seorang pemimpin Malaysia ke Perancis dalam tempoh 15 tahun, merupakan satu kejayaan dalam banyak aspek diplomatik.

Antaranya tempahan Airbus baharu, kerjasama tenaga lebih erat dengan Petronas, usaha sama dalam kecerdasan buatan (AI) dan penangkapan karbon serta persetujuan untuk meningkatkan pertukaran pelajar. Namun perkara mustahak sebenar terkandung dalam mesej Anwar dan isi tersiratnya: Asia Tenggara tidak mahu lagi menjadi yang ‘diwakili’ apatah lagi dipandang rendah.

Jika Eropah mahu hadir di Indo-Pasifik, ia mesti belajar untuk mendengar.

Anwar bukan orang baharu dalam beretorik. Tetapi tersirat di sebaliknya suatu pernyataan tegas: Eropah mesti berhenti daripada melihat Asia Tenggara sebagai ‘wayang’ kepada kebimbangannya - tentang China, tentang kecelaruan global, tentang Pax Americana yang semakin terurai – dan mula berurusan dengan melihat rantau itu sebagai satu wilayah yang yakin diri, punyai hubungan diplomatik kukuh yang tidak menarik konflik atau mengelak dari kerumitan.

Ucapan Sorbonne itu bukan anti-Barat dan bukan juga mendambakan kemenangan. Ia sesuatu yang jarang ditemui: ungkapan berhikmah yang disampaikan dengan hemah.

“Kami sudah biasa disifatkan sebagai itu dan ini,” kata perdana menteri.

“Apa yang kami tidak biasa, ialah didengari,” Dalam satu ayat beliau telah menggambarkan puluhan tahun salah faham.

Daripada misi kolonial untuk mentamadunkan sehinggalah kepada templat strategik kumpulan pemikir hari ini, Asia Tenggara biasanya dilihat sama ada sebagai kawasan pembangunan atau satu bahagian geopolitik dalam imaginasi Eropah.

Namun ASEAN, seperti diingatkan Anwar kepada penontonnya, ialah ekonomi kelima terbesar dunia dan mengamalkan demokrasi meskipun belum sempurna.

Perdana Menteri juga berani menyentuh isu sukar. Mengenai Ukraine, beliau menegakkan undang-undang antarabangsa namun mengingatkan bahawa “rantau kami – dan ASEAN khususnya – bukan cerminan geopolitik kepada krisis lain”.

Mengenai Gaza, beliau menyifatkan perang itu sebagai “keruntuhan hati nurani” dan mengkritik berat sebelah dalam krisis kemanusiaan. Berhubung Iran, beliau menyokong tiada perluasan namun menekankan bahawa dialog – bukan dwistandard – mesti menjadi tunjang kepada sistem global.

Presiden Macron menerima mesej berkenaan dengan tenang.

Pada sidang media bersama, senada dengan Anwar, beliau turut menggesa gencatan senjata di Gaza, menegaskan semula sokongan Perancis kepada penyelesaian dua negara dan mengutuk serangan Israel ke atas Iran kerana tiada asas perundangan. Beliau turut bersetuju terhadap isu yang lebih besar: bahawa nilai sejagat tidak boleh diamalkan secara berat sebelah. Pastinya ‘tidak semua yang berkilau itu intan’, namun ia masih satu momen pertembungan moral meskipun tidak selari sepenuhnya.

Mesej Anwar paling tegas disampaikannya bukanlah berkaitan perang, tetapi berkaitan perdagangan. Eropah, menurutnya, tidak boleh mengharapkan hubungan ekonomi yang lebih mendalam sambil masih berpegang pada struktur kawal selia yang dirasakan semakin miring.

Banyak pihak di Asia Tenggara merasakan standard EU – meskipun dengan niat yang baik – berfungsi lebih sebagai halangan berbanding pengadang neutral. Eksport pertanian, makanan diproses dan farmaseutikal berdepan lapisan pensijilan dan sekatan. Perunding Eropah cenderung menganggap standard mereka bukan sahaja tinggi malah terbukti sebagai model untuk dipakai pihak lain. Anggapan itu kini berdepan tentangan terkawal.

Malaysia, seperti rakan negara lainnya, tidak meminta standard lebih rendah. Ia mahukan dialog yang jujur tentang kesan praktikal standard tinggi tersebut. Terma paten, sebagai contoh, boleh dipersoalkan. EU meminta tempoh eksklusif yang lebih lama. Di negara membangun, ini memberi kesan kepada akses ubat yang menyelamatkan nyawa. Dan ini tidak boleh diterima sama sekali.

Tidak cukup dengan itu, negara-negara Asia Tenggara diminta untuk memenuhi kriteria alam sekitar, buruh dan tadbir urus yang ketat, namun tidak diberikan sedikit fleksibiliti. Hanya ada ruang yang kecil untuk perbezaan dalam sistem perundangan, kontrak sosial atau tahap pembangunan. Kedudukan Eropah justeru meraih kelebihan yang bertopengkan prinsip.

“Ini bermakna melihat peraturan sebagai dialog untuk mencari formula bagi keuntungan bersama, bukan suatu perintah yang diacukan ke kepala bagi mencapai perjanjian.

“Biar kami jelaskan: kami tidak minta dimanjakan. Kami hanya meminta bahawa Eropah melihat kami di mana kami berada kini, bukan mengikut anggapannya,” kata Anwar.

Eropah berharap perjanjian dua hala – seperti yang masih dirundingkan dengan Malaysia – akan berubah menjadi perjanjian perdagangan bebas ASEAN-EU. Tetapi cita-cita itu kekal tertangguh jika intipati hubungan itu tidak memenuhi simbolismenya.

“Persetujuan sehala (consensus ad idem) sangat penting dalam geoekonomi seperti juga dalam geopolitik, dan mungkin lebih lagi,” ujar Anwar, menggunakan frasa undang-undang bermaksud persetujuan atas perkara yang sama.

Bagaimanapun, mood di Asia Tenggara sedang berubah. Jalinan kerjasama akan kekal utuh – namun tiada lagi menunduk. Perunding yang memandang rendah, anda tidak lagi dialu-alukan (vous n’êtes pas le bienvenu)

Kata Anwar, “Kami menyambut baik rakan kerjasama. Tetapi kami menyambut mereka sebagai rakan setara.”

Eropah perlu beri perhatian. Dalam dunia yang semakin bersifat multipolar, hubungan kerjasama bukan lagi suatu bentuk pertolongan yang diberikan tetapi perkongsian yang perlu dimenangi. Jika dilihat pada pertemuan selepas makan malam yang pada awalnya dijadualkan 10 minit, namun berlarutan tiga kali ganda lebih lama, Anwar dan Macron pastinya telah mencapai persetujuan.

Seperti disebut Tocqueville, demokrasi bukan sekadar sistem memerintah tetapi juga sesuatu yang telah ada dalam jiwa. Dan begitu juga diplomasi.

-- BERNAMA 

 

*Mohd Faiz Abdullah merupakan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Malaysia.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan