SEREMBAN, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan proses lantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) di seluruh negara akan disemak semula, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata ia juga akan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat selari dengan dasar kesihatan awam negara.
“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai pelantikan seorang individu sebagai ALPH Rembau di sini yang dikatakan mempunyai elemen konflik kepentingan dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM, seperti yang tular baru-baru ini.
Dzulkefly berkata individu berkenaan tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau dan mengakui wujud kesilapan dalam proses tapisan berkaitan latar kerjaya calon yang dilantik itu.
“Saya akui kelemahan berkenaan telah memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap KKM,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 2,860 pencalonan diterima KKM daripada pelbagai pihak termasuk hospital, exco kesihatan negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.
Dzulkefly berkata setiap pencalonan yang diangkat kepadanya telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil negeri masing-masing.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial