Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JEIWA Bawa Suara Wanita Malaysia Ke Expo 2025 Osaka

04/07/2025 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Rekaan edisi khas Tiffin Jeiwa hasil seni seorang artis bisu dan peka dikenali sebagai Farahin menjadi antara pencapaian paling membanggakan Johor Empowerment of Intellectual Women Association (JEIWA) selepas dipilih sebagai peserta rasmi Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, Jepun.

Karya bertajuk ‘Osaka’ itu, menampilkan bunga raya sebagai lambang kekuatan wanita, rama-rama sebagai simbol transformasi dan latar hijau yang melambangkan harapan.

Pengasas JEIWA Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata corak berkenaan telah diterima sebagai rekaan rasmi oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menjadi simbol keberanian, ketabahan serta semangat wanita Malaysia yang bergema di pentas antarabangsa.

“Melalui pendedahan di Expo ini, JEIWA berharap lebih ramai pihak bukan sahaja melihat hasil kerja kita, tetapi memahami cerita dan perjuangan di sebalik setiap rekaan. Perjalanan JEIWA untuk sampai ke tahap ini tidak mudah.

“Expo ini bukan sekadar ruang untuk mempamerkan produk. Ia wadah untuk kami sampaikan harapan dan membina masa depan mereka, satu karya pada satu masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata di sebalik setiap sapuan warna dan hasil tangan itu, ia mengisahkan tentang harapan yang diterjemahkan melalui warna, kekuatan yang lahir daripada seni dan suara wanita yang akhirnya diberi ruang untuk bergema.

“Melalui Expo 2025 Osaka, dunia kini bukan sahaja melihat keindahan produk buatan tangan Malaysia, tetapi turut mendengar denyut nadi komuniti wanita yang selama ini terpinggir, kini bangkit dan berdiri dengan penuh harapan, semangat, dan keyakinan,” katanya. 

Menjelas lanjut, Nor Fadilah berkata sebagai organisasi yang beroperasi di tengah-tengah spektrum antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial, JEIWA sentiasa mencari keseimbangan dalam membantu komuniti sambil memastikan operasi kekal mampan.

“Namun, prinsipnya jelas, iaitu setiap projek yang dijalankan mesti membawa pulangan kepada komuniti,” katanya. 

Nor Fadilah yang lebih mesra dikenali sebagai Ina berkata JEIWA mahu memanfaatkan Expo 2025 Osaka bukan sekadar untuk mempamerkan produk, tetapi mengetengahkan suara wanita Malaysia.

Ditubuhkan pada 2015, JEIWA lahir daripada keyakinan bahawa setiap wanita memiliki potensi dan bakat bernilai, mereka hanya perlu ruang, kepercayaan dan kasih sayang untuk berkembang.

Beliau berkata inisiatif seperti Power House di Johor dan kini Galeri Tiffin Jeiwa di Kompleks Kraf Kuala Lumpur menjadi tempat pertemuan pelancong, korporat dan pihak berkepentingan yang ingin menyokong misi sosial wanita, selain menjadi pusat jualan dan demonstrasi seni.

Menerusi sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan jenama korporat, termasuk Tourism Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), EXIM Bank serta hotel bertaraf antarabangsa seperti Grand Hyatt dan Four Seasons, JEIWA berjaya mengukuhkan jenamanya.

Hasil daripada kerjasama itu, Tiffin Jeiwa kini diangkat sebagai cenderamata rasmi dalam pelbagai acara berprestij seperti Sidang Kemuncak ASEAN dan Persidangan Maritim Antarabangsa di London, yang membuktikan bahawa produk sosial mampu berdiri setanding dengan jenama mewah antarabangsa.

Berkongsi lanjut, beliau berkata di sebalik pencapaian itu, JEIWA turut berdepan cabaran tersendiri seperti persepsi terhadap kemampuan wanita, kekangan dana serta perbezaan ekosistem apabila operasi berpindah dari Johor ke Kuala Lumpur.

Mengenai tentang impian terbesarnya, Nor Fadilah menyatakan hasrat untuk menubuhkan “Women’s Sanctuary Beachfront”, sebuah ruang pemulihan dan refleksi bagi wanita.

“Di sini, mereka boleh berkarya, menjalani terapi seni dan membina semula kekuatan emosi serta spiritual dalam suasana semula jadi yang menenangkan. Bayangkan satu tempat yang wanita dapat berehat, berkongsi cerita dan menyembuhkan diri mereka ,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan