DUNIA > BERITA

Malaysia: Gencatan Senjata Tidak Boleh Jadi Helah Taktikal, Gesa Pengakhiran Genosid Gaza Secara Kekal

04/07/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia menegaskan bahawa sebarang jeda dalam konflik berterusan di Gaza “tidak boleh disalahgunakan sebagai helah taktikal” dan “akses kemanusiaan tanpa halangan amat diperlukan segera bagi mengelak kebuluran berskala besar,” menurut kenyataan Kementerian Luar pada Jumaat.

Kementerian itu berkata Malaysia “menghargai usaha terkini untuk menamatkan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza”, khususnya cadangan gencatan senjata 60 hari oleh Amerika Syarikat dengan pengantaraan Mesir dan Qatar, serta “menyeru agar ia membawa kepada gencatan senjata kekal.”

Kementerian itu, yang dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia sekali lagi mengulangi kecaman tegas terhadap kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza dan Tebing Barat, termasuk tindakan menyasarkan infrastruktur awam secara sengaja serta tindakan peneroka Israel.

“Tindakan ini merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa,” kata Wisma Putra.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Malaysia kekal komited terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta menyeru keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan