Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kapten Batik Tampilkan Batik Moden Malaysia Di Expo 2025 Osaka

03/07/2025 10:37 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Jenama fesyen tempatan, Kapten Batik telah dipilih sebagai rakan strategik Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka untuk mempersembahkan interpretasi kontemporari terhadap batik tradisional kepada khalayak global.

Dikenali kerana memperbaharui batik agar sesuai dengan gaya hidup moden, jenama itu akan mempamerkan rekaan yang menggabungkan unsur warisan, kelestarian dan identiti nasional secara harmoni sejajar dengan tema acara antarabangsa berprestij "Weaving a Future in Harmony".

Pengasas bersama merangkap Pengarah Kapten Batik Farhan Omar berkata penyertaan di Expo 2025 Osaka bukan sekadar memperagakan fesyen, malah membawa naratif nasional yang menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang yakin, pelbagai budaya, kaya warisan dan bersedia menghadapi masa depan.

“Kami mahu batik melangkah megah di jalan-jalan Tokyo, menghiasi pentas peragaan di Paris, dan menjadi pilihan utama dalam almari pakaian sebagai lambang gaya dan cerita. Kami ingin membuktikan bahawa warisan dan kemodenan bukan sahaja boleh wujud seiring, malah mampu menjadi peneraju arah aliran,” katanya dalam kenyataan.

Farhan menegaskan bahawa setiap helaian yang dijahit dengan teliti, setiap cerita yang dikongsi, dan setiap keputusan rekaan yang dibuat adalah manifestasi bagaimana warisan seharusnya dipakai, bukan hanya disimpan.

“Dengan berani, setiap hari. Di Expo 2025 Osaka menerusi Pavilion Malaysia, mesej ini akan sampai kepada khalayak baharu, meletakkan rekaan Malaysia bukan sekadar cantik, malah berniat, berwawasan dan relevan di peringkat global,” katanya.

Bekas jurutera yang kini bergelar pereka itu berkata beliau mendekati bidang fesyen dengan gabungan kreativiti dan struktur, menyifatkan jurang antara tradisi dan gaya hidup moden sebagai “isu rekaan” yang cuba ditangani melalui rekaan pakaian yang selesa, berfungsi dan kaya nilai budaya.

“Dengan ketelitian dan kejelasan, yang terhasil bukan sekadar produk baharu, tetapi cara berfikir baharu tentang bagaimana tradisi boleh terus maju,” ujarnya.

Sambil mengekalkan penghormatan terhadap teknik tradisional dan penceritaan turun-temurun, Farhan menjelaskan bahawa pakaian Kapten Batik direka agar sesuai dengan kehidupan moden, termasuk penggunaan kapas ringan, potongan praktikal, fabrik elastik dan kemasan anti-kedut.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kapten Batik menggunakan kapas organik yang diperakui GOTS, pewarna diperakui OEKO-TEX® dan gentian REPREVE® yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula, sebagai usaha mengubah sisa kepada produk boleh pakai serta memastikan setiap keputusan dibuat dengan menghormati manusia dan alam sekitar.

Bagi Kapten Batik, kelestarian juga bermakna jangka hayat yang panjang, dengan setiap helaian direka untuk bertahan antara lima hingga 10 tahun, sesuai dengan iklim tropika serta kekal versatil merentasi musim dan gaya.

Farhan berkata Kapten Batik turut bekerjasama dengan Enrich oleh Malaysia Airlines dan The Datai Langkawi untuk mengembangkan falsafah reka bentuknya ke ruang baharu, termasuk pakaian seragam penerbangan dan busana resort yang dihasilkan secara lestari.

“Kerjasama kami bukan hanya bersifat komersial, malah bersifat simbolik, membolehkan kami membawa naratif batik ke tahap yang lebih tinggi,” kata Farhan sambil menggalakkan pereka muda untuk berkarya secara beretika, bijak memilih bahan dan sentiasa mendengar pandangan pelanggan, artisan serta komuniti.

Beliau berkata budaya tidak dapat dikekalkan melalui nostalgia semata-mata, sebaliknya melalui inovasi, kerelevanan dan amalan harian.

Antara pencapaian penting jenama itu termasuk pelancaran Sustainable Series, penggayaan tokoh-tokoh nasional serta pengembangan ke kota-kota antarabangsa seperti London, Jakarta dan Sydney.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan