TELUK INTAN, 4 Julai (Bernama) -- Polis menahan 21 warga tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan curi dan penyelewengan urusan jual beli buah kelapa sawit dalam serbuan di 14 lokasi berasingan di daerah Hilir Perak, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata mereka terdiri daripada 15 wanita dan enam lelaki berusia 20 hingga 63 tahun.
“Op Khas Helang Hilir Fasa 1 ini melibatkan serbuan di 12 pusat pengumpulan sawit berlesen dan dua premis pembeli buah sawit tidak berlesen.
“Dalam serbuan sama, polis turut merampas 18 barangan seperti lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), set komputer dan resit jual beli buah sawit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Bakri berkata kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal menunjukkan wujud elemen penipuan, penyelewengan serta pemalsuan dokumen di premis-premis terlibat,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut juga akan dijalankan melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meneliti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Bakri berkata operasi ini akan diteruskan dalam Op Khas Helang Hilir Fasa 2 memfokuskan kepada individu yang telah dikenal pasti serta bersubahat dalam kes kecurian sawit di daerah Hilir Perak sekali gus meredakan kegusaran masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial