Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Pahang Seru Wartawan Wanita Terus Perjuang Isu Rakyat

02/07/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru wartawan wanita di negara ini terus memperjuangkan isu rakyat dan berpegang kepada integriti kewartawanan.

Al-Sultan Abdullah turut memuji komitmen dan sumbangan besar wartawan wanita pada masa ini yang semakin menyerlah, bukan sahaja dari segi tenaga kerja tetapi juga kualiti liputan khususnya dalam media arus perdana yang mencerminkan keupayaan mereka.

“Era digital dan kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) telah mengubah cara berita disampaikan, sekali gus menjadikan tugas wartawan lebih mencabar dan memerlukan kecekapan.

“Akhbar mungkin tidak lagi terjual seperti dahulu, cetakan pun semakin kurang tetapi dalam bentuk digital, tanggungjawab lebih besar kerana berita sekarang 24 jam. Sehubungan dengan itu, wartawan perlu serba boleh dan sentiasa bersedia,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah hari ini menerima menghadap barisan kepimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) diketuai Presidennya Sariha Mohd Ali, Timbalan Presiden Nasriah Darus, Setiausaha Nor Hasliza Abdullah, Bendahari M. Saraswathi serta ahli jawatankuasa persatuan.

Baginda turut menekankan pentingnya merit dalam bidang kewartawanan dan mengingatkan kepimpinan PERTAMA supaya terus mempertahankan etika kewartawanan dan tahap profesionalisme dalam industri itu.

“Ini bukan mengenai gender, tetapi saya percaya ia perlu diperjuangkan atas dasar merit. Tanggungjawab media hari ini sangat besar. Saya yakin dengan keikhlasan dan dedikasi, wartawan terutamanya wanita mampu terus memberi sumbangan besar kepada negara,” titah baginda.

Sultan Pahang turut berharap isu semasa melibatkan rakyat khususnya di Pahang diberikan penekanan seperti pencerobohan tanah, bekalan air dan harga hasil pertanian tempatan.

“Saya rasa perkara ini agak membimbangkan. Mesti ada kesedaran dan tindakan berterusan,” titah Al-Sultan Abdullah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan