Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Citadel Group Technologies Lancar UmHajGo Untuk Perjalanan Umrah, Haji

01/07/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Citadel Group Technologies, anak syarikat Citadel Holdings melancarkan UmHajGo, iaitu aplikasi mudah alih inovatif yang direka khusus untuk merevolusikan pengalaman umrah dan haji bagi para jemaah Muslim masa kini.

Menurut satu kenyataan, UmHajGo menawarkan cara lebih pintar, pantas dan mudah untuk merancang, navigasi serta mendalami perjalanan ke tanah suci melalui satu platform yang mesra pengguna.

Jurucakap dan penasihat Citadel Group Technologies Adly Mohamed berkata UmHajGo direka untuk memenuhi keperluan umat Islam moden yang mencari fleksibiliti, keselamatan dan kemudahan dalam menunaikan ibadah. 

“Aplikasi itu menggabungkan teknologi terkini dengan kefahaman budaya yang mendalam bagi memastikan pengalaman umrah yang lancar. Sama ada di Malaysia mahupun Indonesia, UmHajGo ialah teman perjalanan ibadah dengan perancangan tersendiri,” katanya dalam kenyataan itu.

Antara ciri utama UmHajGo ialah sistem pengesanan kesesakan secara masa nyata yang menggunakan AI untuk memantau tahap kepadatan di tempat yang dikunjungi ramai, termasuk peta 3D masa nyata dan panduan realiti terimbuh (AR) memudahkan pergerakan jemaah.

Aplikasi itu turut dilengkapi fungsi e-locator, membolehkan ahli keluarga menjejaki lokasi ahli keluarga mereka sekali gus meningkatkan keselamatan sepanjang perjalanan.

Pengguna boleh menempah penerbangan, penginapan dan perkhidmatan perlu dalam satu aplikasi tanpa perlu menggunakan pelbagai platform berasingan.

Selain itu, UmHajGo menawarkan ciri perancangan wasiat digital dan pilihan takaful perjalanan yang mengikut cita rasa pengguna dari sudut kewangan dan spiritual.

Pada masa akan datang, beberapa ciri termasuk pratonton realiti maya 360 darjah untuk lokasi suci dan platform e-dagang patuh Syariah bakal memenuhi keperluan perjalanan.

Bagi meraikan pelancaran itu, pengguna baharu yang memuat turun UmHajGo dari 1 hingga 31 Julai 2025 bakal menikmati akses berbayar secara percuma selama sebulan selepas pendaftaran.

Aplikasi berkenaan menyokong pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris, menjadikannya mudah diakses oleh pengguna di seluruh Asia Tenggara

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, sila layari www.umhajgo.com

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan